KLOPP (kiri) fokus tangani kepincangan bahagian pertahanan Liverpool.
KLOPP (kiri) fokus tangani kepincangan bahagian pertahanan Liverpool.
Reuters

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp percaya pasukannya mempunyai pemain yang mencukupi untuk bersaing dalam pertandingan berbeza, namun tidak menolak kemungkinan membeli pemain baru Januari depan.

Sesudah gagal membeli pertahanan Southampton, Virgil van Dijk, Klopp membawa masuk Mohamed Salah, Dominic Solanke, Andrew Robertson dan Alex Oxlade-Chamberlain pada pramusim.

Menjelang kunjungan pasukan itu ke Leicester City bagi pertembungan pusingan ketiga Piala Liga Inggeis awal pagi esok, pengendali dari Jerman itu berkata, beliau gembira dengan pemain dimilikinya “ketika ini.”

“Daripada perspektif hari ini, ya - kami akan lihat bagaimana Januari ini,” katanya.

“Saya fikir skuad ini cukup besar untuk beraksi dalam pertandingan berbeza dan mara sejauh mungkin. Itulah perancangannya ketika ini.”

Persoalan timbul mengenai benteng pertahanan Liverpool yang dibolosi sembilan gol dalam lima aksi liga. Mereka tewas 0-5 kepada Manchester City sebelum seri 1-1 dengan Burnley hujung minggu lalu.

Kelemahan benteng pertahanan kelab itu juga terdedah ketika seri 2-2 dengan Sevilla dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, namun Klopp berkata, mereka tidak perlu panik.

“Kami akan lihat semula Januari ini tapi ketika ini, saya berasa selesa apabila memikirkan peluang berbeza untuk menggunakan pemain dan cuba menurunkan pemain dalam perlawanan berbeza,” katanya.

Klopp berkata, perpindahan Oxlade-Chamberlain ke Merseyside dari Arsenal “wajar” dan pemain kebangsaan England itu dibawa masuk sebagai prospek jangka panjang.

“Satu permulaan baru... satu bentuk kelegaan. Anda berada di situasi kelab lama anda... dan anda menerimanya kemudian sukar untuk melangkah lagi,” kata Klopp.

“Saya fikir wajar buat Alex berpindah kelab, terutama hadir ke sini. Setakat ini, saya lihat dia menyesuaikan diri dengan baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 8:00 PM