BIBI Ramjani (kanan) beramah mesra dengan pemain Piala Presiden Kelantan di Kota Bharu. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhaamad Razis Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mendedahkan masih ada beberapa penaja musim lalu yang tidak melunaskan bayaran penajaan.

Presiden baru KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jumlah penajaan berkenaan membabitkan lebih RM1 juta, sekali gus menjejaskan kantung mereka.

Katanya, dengan aksi Liga Super berbaki tiga perlawanan, beliau berharap pihak penaja dapat melunaskan bayaran itu untuk membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Beberapa penaja yang nama mereka tercetak di jersi pemain masih tidak selesaikan bayaran tajaan dijanjikan yang dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.

“Mereka ini mungkin ada duit, tapi menunggu selepas berlaku perubahan dalam KAFA. Kami sedang berbincang untuk menyelesaikan gaji pemain.

“Jadi, saya harap penaja terbabit dapat bekerjasama dalam melunaskan tajaan kerana pemain sudah jalankan tanggungjawab dalam mempromosi syarikat mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 9:19 PM