OKAZAKI (dua dari kanan) jaring gol pertama Leicester. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Pemain Leicester, Shinji Okazaki menyingkirkan Liverpool daripada Piala Liga Inggeris manakala Tottenham mengatasi Barnsley untuk layak ke pusingan keempat, awal pagi tadi.

Okazaki tampil dari bangku simpanan untuk membantu Leicester mendahului pada babak kedua ketika menang 2-0 di Stadium King Power.

Penyerang Jepun itu yang masuk menggantikan Leonardo Ulloa pada babak kedua, memecah kebuntuan pada minit ke-65 aksi pusingan ketiga itu.

Vincent Iborra menanduk ke arah Okazaki dalam kotak penalti dan dia mengawal bola dengan baik sebelum merembat masuk.

Bos Reds, Juergen Klopp melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utamanya, memberikan aksi permulaan buat Alex Oxlade-Chamberlain, manakala Philippe Coutinho beraksi 45 minit pertama sebelum dikeluarkan.

Namun kekecewaan Liverpool akhir-akhir ini menunjukkan tiada sebarang tanda peningkatan dan Islam Slimani memusnahkan cabaran mereka 12 minit sebelum tamat.

Slimani menyambut hantaran Okazaki dan merembat kencang menerjah jaring dari penjuru kawasan penalti.

Pasukan Klopp kini tidak menang dalam empat perlawanan selepas seri di laman sendiri dengan Burnley dan Sevilla susulan dibelasah 5-0 di Manchester City.

Di Wembley, Tottenham menang buat kali kedua di stadium kebangsaan itu sejak berpindah ke gelanggang sementara mereka awal musim ini.

Spurs bagaimanapun sekali lagi dilihat kurang selesa beraksi di stadium itu apabila kelab divisyen dua Barnsley mampu bertahan hinggalah minit ke-65 sebelum tewas 0-1 menerusi gol pemain tengah England, Dele Alli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 10:00 AM