MESSI (kiri) jaring gol pertama Barcelona. Foto EPA
AFP

MADRID: Lionel Messi menokok empat dalam pungutan golnya pada awal musim ketika Barcelona mengekalkan rekod 100 peratus permulaan La Liga Sepanyol dengan membelasah Eibar 6-1, awal pagi tadi.

Paulinho dan Denis Suarez turut meledak gol buat perlawanan kedua berturut-turut membantu Barca mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga kepada tujuh mata di depan Real Madrid, yang bertemu Real Betis awal pagi esok.

“Messi menjaringkan empat gol bukan lagi satu berita,” kata bos Barca, Ernesto Valverde selepas hatrik ke-43 karier pemain Argentina itu.

“Dia sudah melakukannya banyak kali, dalam terlalu banyak perlawanan. Untuk terus mengulanginya satu perkara paling sukar.

“Dia seorang pemain luar biasa. Saya bagaikan tiada kata-kata lagi untuk menggambarkannya.”


MESSI (kiri) lepasi kawalan pemain Eibar Dani Garcia (kanan) dan David Junca (tengah) untuk jaring gol keduanya. -Foto EPA

Messi bermain lebih di tengah ketika Valverde menggilirkan skuadnya buat kali pertama sejak mengambil alih dengan Luis Suarez memanaskan bangku simpanan antara enam perubahan berbanding kesebelasan yang menang tipis 2-1 di Getafe, Sabtu lalu.

Berbeza dengan nasib mereka musim lalu, barisan pelapis Barca membuktikan Valverde boleh merehatkan beberapa pemain bintangnya dengan Paulinho terutamanya menyerlah bagi aksi pertama dalam kesebelasan utama.

Messi membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 selepas Nelson Semedo dijatuhkan Alejandro Galvez.

Perpindahan 40 juta euro (RM201 juta) Paulinho dari kelab China, Guangzhou Evergrande satu daripada tindakan yang mencetus kritikan terhadap lembaga pengarah Barca berikutan pemergian dengan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain.


GOL ketiga Messi untuk melengkapkan hatriknya. Foto Reuters

Bagaimanapun, selepas tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan di Getafe, Paulinho merembat masuk gol keduanya buat Barca susulan sepakan sudut Denis Suarez tujuh minit sebelum rehat.

Paulinho turut memainkan peranan terhadap gol ketiga Barca apabila percubaannya ditumbuk penjaga gol Marko Dmitrovic sebelum dirembat masuk Denis Suarez.

Sergi Enrich mengurangkan defisit apabila dia mengambil kesempatan kesilapan benteng Barca untuk menampan masuk hantaran lintang David Junca.

Namun Messi pantas mengembalikan kelebihan tiga gol Barca dengan penamat menarik dari penjuru kotak penalti sebelum melengkapkan hatriknya selepas sejam dan menambah gol ke-12 dalam lapan perlawanan musim ini tiga minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 10:31 AM