PEMAIN import Kelantan, Alessandro Celin (kiri) diasak pemain Johor DT, Fadhli Shas di Stadium Larkin, semalam. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Kelantan, Zahasmi Ismail kecewa dengan aksi barisan pemain importnya selepas skuad itu tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Tanpa berselindung, beliau secara terbuka menegaskan pemain import skuad The Red Warriors (TRW) tidak memainkan peranan dalam perlawanan itu dan sekadar melengkapkan kesebelasan utama pasukan.

Pada aksi itu, Zahasmi menurunkan empat pemain import iaitu Abou Bakr Al Mel, Mamadou Danso, Margaro Gomis dan Alessandro Celin yang jelas gagal menggugat skuad kendalian Ulisses Morais yang sering menguasai perlawanan.

“Memang kecewa. Apa yang saya nak katakan lagi, itu saja pemain yang ada dan terpaksa menggunakan mereka pada perlawanan itu. Saya reda dengan kekalahan ke atas Johor DT.

“Apapun, kami tewas kepada pasukan yang baik dan mereka menguasai perlawanan dan kami pun tahu apabila beraksi di Larkin sememangnya sukar, tapi kami tetap mencuba, namun tidak berdaya mengatasi kekuatan Johor DT.

“Walaupun kami berada di kelompok bawahan liga dan ada baki dua perlawanan lagi, namun kami cuba untuk mengelak daripada jatuh ke Liga Perdana kerana peluang tetap ada untuk memberi persembahan terbaik dalam dua aksi itu nanti,” katanya.

Kini Kelantan perlu memberi sepenuh tumpuan bagi baki dua perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Sultan Mohamad IV pada 30 September ini dan kemudian bertandang ke Melaka berdepan Melaka United pada aksi terakhir liga, 21 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 8:15 PM