FEDERER (kiri) dan Nadal bersama trofi Piala Laver. - Foto EPA
AFP

DUA musuh lama Roger Federer dan Rafael Nadal akan meraih catatan karier pertama di Prague hujung minggu ini apabila mereka beraksi dalam Piala Laver, kejohanan seperti golf Piala Ryder menampilkan pasukan Eropah menentang pasukan Dunia.

Nadal dan Federer, yang kembali ke tangga teratas ranking sukan itu selepas menyapu bersih semua gelaran Grand Slam pada 2017, dijangka dipilih oleh kapten pasukan Eropah, Bjorn Borg untuk bermain acara beregu selain perseorangan.

Ia kali pertama dua pemain legenda itu beraksi di sebelah gelanggang sama selepas permusuhan hampir dua dekad.

“Saya suka bermain dengan Rafa dan lihat pukulan forehand itu melakukan kemusnahan di gelanggang depan,” kata Federer, juara Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini.

“Saya pasti penonton juga akan teruja dan kerana itu saya berasa hebat untuk turun beraksi.”

Menyertai Federer dan Nadal dalam pasukan Eropah adalah pemain dalam kalangan 10 terbaik Marin Cilic, Alexander Zverev dan Dominic Thiem manakala bekas pemain nombor empat Tomas Berdych melengkapkan skuad itu.

Pasukan Dunia diketuai John McEnroe, menampilkan empat pemain AS - Frances Tiafoe, Sam Querrey, John Isner dan Jack Sock selain pemain Australia, Nick Kyrgios dan pemain remaja Kanada, Denis Shapovalov.

Tiafoe, yang memberi ancaman kepada Federer pada Terbuka AS, adalah pengganti saat akhir buat Juan Martin del Potro.

Kejohanan tiga hari itu bermula esok hingga Ahad dan menampilkan tiga set satu perlawanan, set terakhir menggunakan format super tie-break (10 mata).

Ada empat perlawanan setiap hari - tiga perseorangan dan satu beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 8:21 PM