PEMAIN Valencia meraikan gol kemenangan oleh Zaza (kiri). - Foto AFP
AFP

MADRID: Valencia melonjak mengatasi Real Madrid di tangga keempat La Liga Sepanyol ketika gol kemenangan Simone Zaza lima minit sebelum tamat membantu mereka menang tipis 3-2 di Real Sociedad, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, malang menimpa pengurus Valencia, Marcelino yang mengalami kekejangan hamstring ketika meraikan gol kemenangan itu.

Tiga kali Valencia mendahului di San Sebastian ketika kedua-dua pasukan turut beraksi 10 pemain pada babak kedua.

Gol tampanan awal Rodrigo disamakan tandukan Aritz Elustondo sebelum rehat.

Nacho Vidal meletakkan Valencia kembali di depan namun Sociedad, yang kini kalah tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, bangkit menerusi penyudah menakjubkan Mikel Oyarzabal.

Igor Zubeldia dan Geoffrey Kondogbia kemudian dibuang padang kerana layangan kad kuning kedua untuk mencetus penamat getir.

Perlawanan berkualiti itu akhirnya ditentukan apabila Goncalo Guedes memperagakan aksi memukau mengumpan kepada Zaza untuk meledak gol kelimanya musim ini.

Valencia kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan sejak Marcelino mengambil alih selepas dua musim hambar dibelenggu dengan jurulatih silih berganti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 10:23 AM