RONALDO (tengah) tetap jadi pilihan menang Ballon d’Or walaupun kemarau gol dalam dua perlawanan. - Foto AFP
AFP

MADRID: Dua perlawanan tanpa gol satu perkara agak lumrah bagi kebanyakan pemain bola sepak tetapi bagi Cristiano Ronaldo ia menggambarkan satu kemarau.

Ronaldo akan cuba melupakan kesukarannya menemui jaringan pada awal musim ketika Real Madrid menyasarkan untuk mencetus penanda bagi impian mereka memburu trofi Liga Juara-Juara ketiga berturut-turut di Borussia Dortmund, awal pagi Rabu ini.

Bintang Portugal itu kekal menjadi pilihan utama untuk menyamai pencapaian Lionel Messi dengan lima kemenangan Ballon d’Or berikutan peranannya mengemudi kemenangan berganda Madrid dalam La Liga dan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 59 tahun.

Bagaimanapun, prestasi sensasi Messi bersama Barcelona dan tumpuan diberikan terhadap perpindahan rekod dunia Neymar sebanyak 222 juta euro (RM1.1 bilion) ke Paris Saint-Germain bulan lalu sedikit sebanyak mengalih tumpuan terhadap Ronaldo.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai calon terakhir bagi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2017 minggu lalu.

Ronaldo bagaimanapun gagal setakat ini musim ini mencetus tahap terbaiknya ketika Real ketinggalan tujuh mata di belakang Barca dalam perebutan kejuaraan La Liga.


AKSI Ronaldo (kanan) ketika menentang Alaves. - Foto REUTERS

Penggantungan lima perlawanan kerana menolak pengadil selepas dibuang padang pada aksi pertama Piala Super Sepanyol menjadi penyebab utama.

Ronaldo menganggap penggantungan itu sebagai “penganiayaan” oleh persekutuan bola sepak Sepanyol.

Namun hukuman itu bagaikan tidak berakhir apabila Ronaldo yang berkarat gagal bertindak baik apabila rekod Real menjaringkan gol dalam 73 perlawanan berturut-turut berakhir dengan kekalahan mengejut 0-1 di tangan Real Betis pertengahan minggu lalu.

Ronaldo turut pulang tangan kosong apabila Madrid mengatasi pasukan tangga tercorot Alaves Sabtu lalu sekalipun melakukan 18 percubaan dalam dua aksi terakhirnya.

“Cristiano seperti selalu. Apabila dia tidak menjaringkan gol anda bertanyakan saya mengenainya, tapi dia tetap tenang,” tegas bos Real, Zinedine Zidane.

“Dia mahu menjaringkan gol dan ia satu perkara biasa, tapi ia musim yang panjang dan dia selalunya mampu mengubah semua itu akhirnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 3:38 PM