BARRY (tengah) mengakui boleh beraksi hingga berusia 40 tahun. - Foto AFP
AFP

LONDON: Gareth Barry memecahkan rekod penampilan Liga Perdana Inggeris milik Ryan Giggs apabila pemain tengah West Bromwich Albion itu bermain aksi ke-633 pada pertembungan dengan Arsenal, awal pagi tadi.

Barry dinamakan kapten Albion di Stadium Emirates sebagai menghargai pencapaiannya itu dan mendapat tepukan gemuruh kedua-dua penyokong Arsenal dan West Brom sebelum sepak mula.

Pemain berusia 36 tahun itu, yang menyamai rekod bekas bintang Manchester United, Giggs apabila dia bermain ketika West Brom seri tanpa jaringan menentang West Ham hujung minggu lalu, melakukan penampilan ke-601 dalam kesebelasan utama bagi liga utama itu.

“Sesuatu yang berbeza minggu ini, mendapat banyak tumpuan daripada media. Bangga rasanya berjaya melakar pencapaian ini,” kata Barry selepas pasukannya tewas 0-2.

“Ia pasti lebih hebat jika dapat meraih keputusan lebih baik tapi ada banyak perkara positif yang boleh didapati.”

Barry melakukan penampilan sulung buat Aston Villa pada usia 17 tahun, tampil sebagai pemain gantian ketika menang 3-1 di Sheffield Wednesday pada 2 Mei 1998.


KHIDMAT Barry (kanan) pernah ditagih Wenger sebelum ini. -Foto REUTERS

Lebih menarik rekod penampilan itu hadir menentang Gunners ketika pengurus mereka Arsene Wenger dua kali cuba mendapatkan khidmatnya sebelum ini.

Sebaliknya, Barry bermain untuk Manchester City, yang mana dia menang kejuaraan pada 2012 dan kemudian Everton sebelum menyertai West Brom secara perpindahan percuma pada musim panas baru-baru ini.

Kini dalam musim ke-21 sebagai pemain profesional, Barry, yang turut beraksi 53 perlawanan buat England, mengakui dia boleh bermain hingga berusia 40 tahun.

Ia memungkinkan dia sekali lagi mengatasi rekod Giggs, ketika pemain Wales itu, yang bermain 40 kali dalam Divisyen Satu sebelum Liga Perdana diperkenalkan pada 1992, melakukan 672 penampilan dalam liga utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 9:25 AM