KANE buktikan dirinya antara penyerang terbaik dunia. - Foto REUTERS
Reuters

NICOSIA: Hatrik daripada Harry Kane menyaksikan Tottenham Hotspur merakam kemenangan kedua dalam dua perlawanan Kumpulan H Liga Juara-Juara, apabila mereka mengalahkan juara Cyprus, APOEL Nicosia 3-0 awal pagi tadi.

Ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu kehilangan khidmat kreativiti pemain tengah Christian Eriksen dan Dele Alli, penyerang England itu berseorangan menyudahkan peluang dan di sebalik saingan sengit tuan rumah, Spurs pulang dengan tiga mata.

Spurs mendahului pada minit ke-38 apabila Kane menerima lorongan cantik Toby Alderweireld dan tenang mengatasi penjaga gol yang meluru keluar Boy Waterman. Tuan rumah mendakwa dia ofsaid namun pengadil tidak mengendahkannya.


KANE (kanan) tenang sempurnakan gol pertama Spurs. - Foto REUTERS

Tottenham menokok gol kedua dan Kane meraih gol keduanya pada minit ke-62 apabila umpanan Moussa Sissoko ke penjuru kotak penalti disudahkan dengan rembatan kaki kanan pemain kebangsaan England itu.

Kane melengkapkan hatriknya lima minit kemudian dengan menanduk masuk hantaran silang Kieran Trippier dari sebelah kanan untuk memastikan kemenangan Spurs.

Tottenham kini meraih enam mata, di samping Real Madrid yang menewaskan Borussia Dortmund 3-1 di Jerman. Kedua-dua APOEL dan Dortmund masih belum meraih sebarang mata.

“Ada beberapa pemain yang bukannya tonggak utama mempamerkan persembahan baik dan hatrik daripada Harry Kane, ia satu persembahan fantastik,” kata pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 9:48 AM