KLOPP percaya Reds di landasan baik layak ke peringkat kalah mati. - Foto REUTERS
KLOPP percaya Reds di landasan baik layak ke peringkat kalah mati. - Foto REUTERS
AFP

MOSCOW: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp percaya pasukannya tetap berada di landasan baik untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sekalipun seri kedua-dua perlawanan pertama mereka.

Selepas seri 2-2 dengan Sevilla dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Liverpool seri 1-1 di laman lawan menentang Spartak Moscow awal pagi tadi, dengan sepakan percuma Fernando buat tuan rumah disamakan oleh gol menakjubkan Philippe Coutinho.

Liverpool kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Sevilla namun dengan berbaki empat perlawanan, Klopp tenang menangani situasi pasukannya ketika ini.

“Tentu sekali saya sudah cukup menyaksikannya (hakikat Liverpool boleh layak),” kata Klopp di Arena Otkrytiye.

“Kami tahu lebih banyak mengenai dua pasukan. Kami sedar Moscow berdepan banyak masalah kecederaan. Sudah tentu Quincy Promes akan kembali bagi perlawanan berikutnya dan beberapa pemain lain yang bagus, yang akan mengubah permainan mereka.

PEMAIN Liverpool Mohamed Salah (kiri) dihalang Ilya Kutepov. - Foto REUTERS
PEMAIN Liverpool Mohamed Salah (kiri) dihalang Ilya Kutepov. - Foto REUTERS

“Dalam bola sepak anda tidak boleh pasti. Ya, kami cukup kuat untuk melayakkan diri, tapi kami perlu melakukannya. Apabila pintu terbuka, anda masih perlu berjalan melaluinya.

“Pintu masih belum dibuka. Anda boleh lihat sedikit cahaya di belakangnya. Tapi kami sedia untuk melepasinya.

“Kerana anak buah saya bekerja keras dan anda boleh lihat mereka benar-benar mahu menang. Kadang-kadang anda berdepan situasi sebegini. Kekal tenang, teruskan kerja keras dan akhirnya anda akan berjaya.”

Fernando meletakkan Spartak di depan menerusi sepakan percuma dari jarak 25 ela pada minit ke-23 namun kelebihan mereka hanya berakhir lapan minit apabila Coutinho bertukar hantaran dengan Sadio Mane sebelum tenang merembat kencang gol penyamaan.

Di sebalik menguasai babak kedua, Liverpool gagal mencari gol kemenangan dengan pemain gantian Daniel Sturridge dan Mohamed Salah kedua-duanya mensia-siakan peluang lewat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 11:08 AM