NEYMAR (kanan) lengkapkan malam gemilang PSG. - Foto AFP
AFP

PARIS: Edinson Cavani dan Neymar kedua-duanya meledak gol ketika Paris Saint-Germain meraih kemenangan mengagumkan 3-0 ke atas Bayern Munich pada perlawanan tumpuan Liga Juara-Juara di ibu negara Perancis itu, awal pagi tadi.

PSG bermula hebat apabila pemain Brazil yang dibeli pada musim panas lalu Dani Alves meletakkan mereka di depan dalam tempoh 90 saat pertama di Parc des Princes dan mereka tidak menoleh ke belakang.

Rembatan kencang Cavani selepas 31 minit menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Neymar melengkapkan jaringan pada minit ke-63 ketika Bayern mengalami kekalahan terbesar mereka sejak tumpas kepada Barcelona dengan jaringan sama pada separuh akhir pertandingan itu pada Mei 2015.

Keputusan itu membolehkan kelab Perancis itu unggul di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata maksimum daripada dua perlawanan, lapan gol dijaringkan dan tidak bolos sebarang gol.

Mereka berada di landasan baik menjuarai kumpulan itu - Bayern terikat tiga mata dengan Celtic, yang menang 3-0 di Anderlecht.

Bagi PSG ia peluang buat mereka menguji diri menentang satu daripada kuasa besar tradisi benua itu dalam perlawanan terbesar mereka di Eropah sejak diaibkan Barcelona musim lalu.

CAVANI diraikan rakan sepasukan. - Foto AFP

“Perkara pokok adalah tiga mata tapi penting juga penyokong terhibur dengan perlawanan itu dan melihat kami menang menentang pasukan ternama,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

Perlawanan itu juga menyaksikan Cavani dan Neymar tampil bersama buat kali pertama sejak berbalah mengenai siapa yang patut mengambil sepakan penalti dalam perlawanan liga menentang Lyon, 10 hari lalu.

Kali ini tiada sebarang pertelagahan lagi dan kedua-duanya meraikan kejayaan menundukkan pelawat.

“Saya cuba membariskan pasukan terbaik yang kami ada dan jika saya dikritik kerananya, saya menerimanya,” ujar jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti yang meletakkan Franck Ribery dan Arjen Robben di bangku simpanan.

“Alasan kekalahan ini adalah gol pertama.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 11:13 AM