KANE (kanan) jaring gol pembukaan Spurs.
AFP

Huddersfield, United Kingdom: Aksi hebat yang dipamerkan Harry Kane memastikan Tottenham menang besar 4-0 ke atas Huddersfield malam tadi.

Tottenham menewaskan juara Cyprus APOEL Nicosia 3-0 hasil jaringan hatrik Kane awal pagi Rabu lalu dan terus cemerlang di West Yorkshire, merobek gawang Huddersfield dalam tempoh 20 minit menerusi dua jaringan bertenaga.

Ben Davies turut meletakkan Tottenham di depan sebelum pemain gantian Moussa Sissoko menambah gol keempat ketika kelab London itu melenyapkan cabaran anak buah David Wagner.

Kemenangan itu membolehkan Tottenham terus mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris dan mereka benar-benar memanfaatkan peluang ke atas pasukan Huddersfield yang biarpun tidak setanding mereka tetapi masih mempamerkan aksi berkualiti.

Huddersfield ternyata mampu membuktikan keampuhan mereka di bahagian pertahanan musim ini, kekal empat perlawanan tanpa bolos dalam enam perlawanan pertama namun semua itu tidak bermakna sepanjang 90 minit perlawanan itu.

Mereka membuktikan keupayaan ke atas Spurs pada awal perlawanan apabila percubaan jarak jauh Tommy Smith berjaya ditepis Hugo Lloris dan Rajiv van la Parra turut menyaksikan Eric Dier menghadang satu lagi percubaan.

Bagaimanapun, Kane membuktikan sekali lagi mengapa dia layak digelar pemain terhangat Eropah dan menyebabkan hampir semua kelab ternama dunia mahukan khidmatnya.

Seawal minit kesembilan kelekaan pemain Huddersfield Chris Lowe dimanfaatkan penyerang England itu yang meluru ke arah gol dan dengan tenang merembat bola melepasi penjaga gol Jonas Lossl untuk meletakkan Spurs di depan.

Ia satu penyudah hebat dan tepat yang diharapkan peminat Liga Perdana daripada pemain berusia 24 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:46 AM