PASUKAN NH3 Cycling Team teruja untuk menyertai HMMTB 2017 di Kerteh.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kekangan kerja sehingga membataskan latihan antara cabaran NH3 Cycling Team untuk membuat persiapan menghadapi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, 7 Oktober nanti.

Ketua pasukan Kamarul Arifin Yusof berkata, cabaran itu bagaimanapun tidak menghalang mereka yang tetap teruja untuk menyertai kejohanan sukan berbasikal itu.

“Kami teruja namun pada masa sama bimbang gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan kerana kekurangan latihan berikutan masing-masing mempunyai tanggungjawab dan komitmen.

“Bukan kami langsung tidak mengadakan latihan, tapi agak terhad kerana perlumbaan hanya berbaki kira-kira seminggu lagi.

“Kami akan cuba mencuri masa untuk mengadakan latihan tapi bukan untuk menang. Ia adalah untuk keselamatan kami kerana sukan berbasikal lasak ini bukan hanya memerlukan basikal yang baik semata-mata tapi stamina dan latihan juga perlu cukup,” katanya.

Menurut Kamarul pasukannya tidak meletakkan sasaran untuk meraih kedudukan podium sebaliknya menyifatkan pertandingan itu sebagai platform terbaik untuk menambah kenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:58 AM