NEYMAR (tengah) ledak dua gol. FOTO/REUTERS
AFP

PARIS: Neymar meledak dua gol termasuk penalti pada babak pertama dan mencipta satu lagi apabila Paris Saint-Germain membelasah kelab yang belum kalah sebelum ini Bordeaux 6-2 dalam Ligue 1, awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu melencongkan masuk sepakan percuma mengagumkan dari jarak 30 ela selepas hanya lima minit di Parc des Princes sebelum mengumpan kepada Edinson Cavani untuk menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Penyudah menakjubkan Thomas Meunier menjadikan kedudukan 3-0 buat PSG pada minit ke-21, namun Bordeaux membalas satu gol selepas setengah jam apabila Younousse Sankhare menyudahkan satu gerakan menarik sepasukan.


CAVANI (kiri) melakukan sepakan untuk gol kedua PSG.

PSG kemudian dihadiahkan sepakan penalti, yang pertama sejak perbalahan antara Neymar dan Cavani mengenai tugas mengambil sepakan penalti membayangi kemenangan 2-0 ke atas Lyon dua minggu lalu, dengan Neymar kali ini tampil menyempurnakannya.

“Bagi saya apa yang penting penalti itu disempurnakan,” kata jurulatih PSG, Unai Emery. “Perkara penting kedua-dua mereka mengintai peluang dan kedua-duanya boleh mengambil tendangan penalti. Keputusan terletak kepada kedua-duanya. Kami sudah bercakap mengenainya secara dalaman.”


MBAPPE (tengah) turut menjaringkan gol untuk PSG pada minit ke-58. FOTO/ AFP

Julian Draxler merembat masuk voli bagi gol kelima sebelum rehat dan Kylian Mbappe menokok satu gol lagi pada minit ke-58, manakala Malcom menjaringkan sepakan penalti lewat buat Bordeaux dan PSG melonjak tiga mata di depan juara bertahan AS Monaco di puncak carta liga.

“Ia kemenangan yang bagus menentang pasukan yang belum kalah,” ujar Mbappe. “Kami tidak perlu menghantar mesej, kami hanya menumpukan kepada diri sendiri. Kami masih boleh bertindak lebih baik, kami tidak memilih tapi masih ada ruang untuk meningkat.”

Emery merehatkan kapten Thiago Silva bagi kunjungan pasukan tangga ketiga Bordeaux, yang tiba di ibu negara itu ketinggalan di belakang PSG dengan hanya empat mata selepas tujuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 10:26 AM