PEMAIN tengah Atletico, Saul Niguez (tengah) mengekang pertahanan Leganes, Joseba Zaldua. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Minggu hambar Atletico Madrid susulan kekalahan dalam Liga Juara-Juara di tangan Chelsea berterusan apabila mereka makin terperosok dalam perebutan kejuaraan La Liga Sepanyol selepas seri 0-0 dengan pasukan sederhana jiran Madrid, Leganes, awal pagi tadi.

Jika tidak kerana tindakan penyelamat hebat penjaga gol Jan Oblak pada babak kedua menafikan Nabil El Zhar, Leganes boleh merakam kemenangan sulung ke atas Atletico di liga utama.

Seri kali ketiga dalam tujuh perlawanan musim ini menyaksikan Atletico ketinggalan satu mata di belakang Sevilla, yang melonjak ke tangga kedua dengan kemenangan 2-0 ke atas Malaga dalam aksi terdahulu.

Bos Atletico, Diego Simeone melakukan empat perubahan daripada pasukan yang bermula menentang Chelsea dalam usaha menyegarkan kembali pasukannya.


SIMEONE (tengah) salahkan jadual padat punca pemainnya lesu. FOTO/ AFP

Namun pelawat masih kelihatan kaku dan kebingungan dengan perubahan sistem tiga pemain di benteng pertahanan.

Simeone menyalahkan kerja keras pasukannya ketika menentang juara Inggeris itu serta jadual padat awal musim yang menyaksikan Atletico bermain hanya tiga daripada sembilan perlawanan pertama musim ini di stadium baru Wanda Metropolitano.

“Pemain sudah beraksi terlalu banyak perlawanan dalam tempoh beberapa hari saja sejak rehat tugasan antarabangsa baru-baru ini,” kata Simeone.

“Mereka manusia biasa, kerja mereka berlari dengan laju dan tidak mudah untuk memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan.

“Memandangkan kesukaran semua aksi di laman lawan yang kami hadapi, aksi Liga Juara-Juara dan terpaksa menyesuaikan diri dengan gelanggang baru kami, saya fikir kami berada dalam landasan baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 11:07 AM