PEMAIN Chelsea kelesuan selepas tewas kepada City. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Antonio Conte menyatakan pemain Chelsea keletihan selepas hanya 30 minit ketika tewas 0-1 kepada Manchester City awal pagi tadi, tiga hari selepas mereka menundukkan Atletico Madrid di gelanggang lawan dalam Liga Juara-Juara.

“Mengenai isu ini saya sudah jelaskan sebelum ini,” kata Conte. “Apabila anda terpaksa bermain perlawanan besar hanya tiga hari kemudian, anda perlu memikirkan mengenai kepenatan dialami pemain anda.

“Mustahil untuk mereka menyerang dan bertahan dan selepas 30 minit, anda tidak mempunyai tenaga untuk meneruskan permainan.”

Keputusan awal pagi tadi meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu di tangga keempat liga, enam mata di belakang pendahulu City dan pasukan tangga kedua Manchester United serta satu mata di belakang pasukan tangga ketiga Tottenham Hotspur.


CONTE mengeluh pemainnya tiada masa cukup untuk pulih. FOTO/AFP

Conte mengeluh awal minggu ini mendakwa pemainnya tidak mempunyai masa mencukupi untuk memulihkan diri selepas perlawanan Liga Juara-Juara Rabu lalu dan mendakwa pasukannya ‘dihukum’ oleh jadual perlawanan.

Chelsea turut berdepan kekecewaan berganda apabila kehilangan penjaring terbanyak Alvaro Morata yang mengalami kecederaan 10 minit sebelum rehat.

“Ia masalah otot,” ujar jurulatih dari Itali itu. “Saya tidak fikir ia masalah serius. Dia (Morata) dikeluarkan sebelum kecederaan itu lebih serius.

“Dia berkata lebih baik dia berehat, kalau tidak dia berisiko mengalami kecederaan teruk. Jadi, doktor perlu melakukan pemeriksaan rapi terhadap Morata.”

Chelsea sudah kalah dua kali di Stamford Bridge musim ini dan Conte berkata, mereka berdepan jadual sukar.

“Anda perlu mengambil kira dalam tujuh perlawanan kami berdepan Arsenal, Manchester City, Tottenham dan juga Everton. Permulaan kami tidak mudah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:38 PM