PENYERANG Arsenal Alexis Sanchez (kiri) melakukan sepakan percuma ke arah pintu gol Brighton. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger percaya Arsenal sedia melenyapkan pengkritik yang memandang rendah keupayaan mereka berikutan kekalahan mengaibkan di tangan Liverpool.

Pasukan Wenger sudah bangkit sejak dibenam 4-0 oleh Liverpool di Anfield Ogos lalu dan mereka mengekalkan momentum dengan kemenangan 2-0 ke atas Brighton, malam tadi.

Gol pertama Nacho Monreal dalam Liga Perdana Inggeris sejak 2013 meletakkan Arsenal di depan pada awal aksi dan Alex Iwobi melengkapkan tiga mata selepas rehat di Stadium Emirates.

Gunners kini meraih 10 mata daripada empat perlawanan liga sejak dimalukan di Merseyside, kekalahan mengaibkan yang mencetus semula desakan Wenger supaya meletak jawatan daripada penyokong yang memprotesnya musim lalu.

Wenger yakin jendela perpindahan, yang ditutup selepas kekalahan di Liverpool menyahstabilkan pasukannya dengan Alex Oxlade-Chamberlain dan Kieran Gibbs meninggalkan kelab manakala Alexis Sanchez gagal merealisasikan perpindahan ke Manchester City.


IWOBI (tengah) menjaringkan gol kedua Arsenal. FOTO/AFP

Yakin Arsenal, yang menang enam daripada perlawanan terakhir mereka, kini bersatu kembali, Wenger percaya mereka boleh menikmati musim yang berjaya.

“Saya tahu selepas perlawanan di Liverpool setiap orang akan memandang remeh kami dan saya sedar ia bergantung kepada kami, bagaimana kami bertindak balas,” kata Wenger.

“Tiada apa yang kekal. Kami bertindak balas dengan cara bersatu dan kami meraih beberapa kemenangan dan persembahan yang bagus sebagai satu pasukan.”

Arsenal berdepan rehat tugasan antarabangsa terikat mata dengan juara bertahan Chelsea dan enam mata di belakang pendahulu Manchester City.

Wenger mengakui beliau akan tidur lebih lena ketika rehat aksi antarabangsa berbanding sebelum ini yang mana hadir sebaik selepas persembahan buruk di Anfield.

“Rehat aksi antarabangsa sebelum ini satu mimpi ngeri, kali ini ia lebih baik,” ujarnya.

“Saya lebih suka kami terus bermain tapi tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya. Harapnya pemain kembali dalam keadaan baik.”

Perlawanan semalam tepat pada ulang tahun ke-21 kehadiran Wenger di utara London, sesuatu yang tidak disedari pengendali berusia 67 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 1:17 PM