DUNNE kecewakan McIlroy untuk merangkul kejuaraan Masters British. FOTO/AFP
DUNNE kecewakan McIlroy untuk merangkul kejuaraan Masters British. FOTO/AFP
AFP

NEWCASTLE, England: Pemain Ireland, Paul Dunne meraikan kemenangan sulung dalam Jelajah Eropah apabila dia menafikan kebangkitan Rory McIlroy untuk merangkul kejuaraan Masters British di Newcastle semalam dengan catatan menakjubkan 61 pada pusingan akhir.

Dunne, 24, mencetus aksi mengagumkan itu apabila menamatkan 18 lubang dengan sembilan bawah par menerusi tiga birdie dan satu eagle dalam enam lubang pertamanya di lapangan Close House di timur laut England.

Ia memberikannya keseluruhan 20 bawah par dan kemenangan tiga pukulan di depan McIlroy, dengan pemain Sweden, Robert Karlsson, yang mendahului satu pukulan menjelang pusingan akhir, mencatat 66 untuk tangga ketiga dengan 16 bawah par.

Pemenang empat kejuaraan utama McIlroy merapatkan kedudukan kepada satu pukulan di belakang Dunne dengan penamat 63 bagi 17 bawah par keseluruhan.

Namun Dunne menangani perasaan gemuruhnya dan membalas cabaran McIlroy dengan birdie dalam dua lubang terakhir termasuk bola lambung sensasi dari luar green pada lubang terakhir.

Kemenangan Dunne, pertama dalam 51 kejohanan jelajah, membantunya menebus kekalahan menerusi penentuan play-off pada Trofi Hassan II di Maghribi awal tahun ini.

Pemain Ireland itu turut mendahului Terbuka British 2015 menjelang pusingan akhir.

“Satu perasaan hebat akhirnya menang dan saya sudah berada di atas sana beberapa kali tahun ini tapi saya tidak berjaya memastikan kemenangan pada hari terakhir,” ujar Dunne.

“Jadi, saya bangun pagi ini dan berkata kepada diri sendiri saya akan cuba memenanginya dan tidak bergantung harap kepada orang lain. Syukur saya melakukannya dan harapnya saya boleh melakukannya lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 2:10 PM