POAD (kanan) berharap Khairul diserapkan ke dalam Podium.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak mudah untuk mempersiapkan seorang atlet yang mampu melakar kejayaan di pentas antarabangsa jika tidak hadir dengan sokongan dan bantuan pihak berwajib.

Selepas tamatnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, tumpuan kini terarah kepada persiapan Sukan Asia Indonesia-Palembang dan juga Komanwel Gold Coast.

Persoalannya, mampukah raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan memberikan cabaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat akhir perlumbaan acara pecut itu.

Namun, jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim yakin, Khairul mampu melakukan sesuatu dengan penyertaan di dua temasya terbesar itu mampu meniup semangat Khairul serta mematangkannya.

Justeru, adalah wajar andai Khairul yang juga pemenang rekod kebangsaan diserapkan ke dalam program Podium agar segala latihan serta persiapan yang lebih jitu dapat disusun.

“Saya memang harap bukan saja Khairul malah kesemua pelari kuartet pecut kita dapat diserapkan ke dalam program Podium.

“Apabila diserapkan ke dalam Podium sistem latihan dan peluang ke luar negara lebih cerah apabila peruntukkan yang diberi lebih sekali gus membuatkan perancangan masa depan atlet pecut negara lebih mudah,” katanya.

Menurut Poad, Khairul kini berkedudukan ranking keenam Asia dengan catatan 10.18 saat.

Biarpun sudah melepasi kelayakan ke Sukan Asia, Poad berkata, beliau perlu mempersiapkan Khairul kerana cabaran di Sukan Asia mahupun Komanwel tidak mudah serta peluang untuk mendapatkan pingat di dua temasya itu juga agak tipis.

“Bagi saya kedua-dua temasya sama ada Asia atau Komanwel adalah penting bagi Khairul mendapatkan keyakinan dan persaingan yang lebih tinggi.

“Saya yakin dua temasya ini dapat mematangkan dia untuk layak secara merit ke Olimpik Tokyo 2020 jadi adalah penting untuknya diserapkan ke dalam program Podium,” katanya.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF), dua pelari Jepun, Kiryu Yoshihide dan Yamagata Ryota menguasai ranking satu dua selepas masing-masing melakarkan 9.98s dan 10s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 8:14 AM