BELOTTI rehat empat minggu selepas koyak ligamen lutut kanan. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Penyerang kebangsaan Itali, Andrea Belotti diketepikan selama empat minggu selepas koyak ligamen lutut kanannya, menurut kelab Serie A, Torino semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu akan terlepas dua baki perlawanan kelayakan Piala Dunia Itali menentang Macedonia dan Albania bulan ini dan kemungkinan aksi play-off pada pertengahan bulan depan.

Belotti - yang menjaringkan empat gol dalam 11 perlawanan buat Itali dan lima dalam lapan perlawanan bersama Torino musim ini - cedera lutut kanannya ketika seri 2-2 menentang Verona dalam Serie A, Ahad lalu.

Itali turut kehilangan Marco Verratti, Lorenzo Pellegrini dan Daniele De Rossi bagi aksi kelayakan menentang Macedonia awal pagi Sabtu ini dan Albania awal pagi Selasa depan.

Jurulatih Giampiero Ventura sudah memanggil penyerang Chievo, Roberto Inglese, Roberto Gagliardini (Inter Milan), Nicolo Barella (Cagliari) dan Bryan Cristante (Atalanta), yang meraih panggilan pertama Itali sehari selepas menjaringkan gol menentang Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 10:05 AM