WERNER (kiri) tak dapat beraksi bersama Jerman kerana cedera. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Jerman berdepan masalah kecederaan di jentera serangan bagi aksi kelayakan Piala Dunia genting menentang Ireland Utara selepas penyerang utama Timo Werner menarik diri semalam.

Selepas lapan kemenangan berturut-turut, Jerman hanya memerlukan satu mata di Belfast awal pagi Jumaat ini untuk memastikan tempat ke Russia 2018.

Bagaimanapun juara dunia itu tidak beraksi tanpa Werner, 21, dan penyerang veteran Mario Gomez yang diketepikan kerana kecederaan.

Gomez cedera buku lali bulan lalu manakala Werner diketepikan kerana masalah leher dan tulang belakang.

Penyerang RB Leipzig itu mengadu pening ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Besiktas Rabu lalu, yang mana masalah itu mula timbul.

“Kini bukannya masa memikirkan mengenai bermain, kami perlu memastikan Timo cergas,” kata jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl selepas Werner terlepas kemenangan 2-1 ke atas Cologne dalam aksi Bundesliga, Ahad lalu.


LOEW (tengah) tidak akan memanggil pengganti Werner. FOTO/AFP

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew menyatakan beliau tidak akan memanggil pengganti.

Loew dijangka bermula dengan sama ada pemain Moenchengladbach, Lars Stindl, Sandro Wagner (Hoffenheim) atau Leroy Sane (Manchester City) di bahagian serangan menentang Ireland.

Jerman sudah kehilangan khidmat penjaga gol bertaraf dunia, Manuel Neuer, yang berehat hingga Januari depan selepas mengalami kecederaan kaki.

Di bahagian tengah, Loew tampil tanpa Mesut Ozil, Sami Khedira dan Mario Goetze, yang masih di bawah tahap sebenar sesudah hanya kembali Ogos lalu selepas tujuh bulan diketepikan kerana gangguan metabolisme.

Jerman menjangkakan perlawanan sukar di Belfast, yang mana Ireland Utara masih belum melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan kelayakan di laman sendiri setakat ini.

Juara dunia itu menang 2-0 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Hanover, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 2:37 PM