MBAPPE (kanan) berlatih bersama rakannya, Djibril Sidibe dalam persiapan menentang Bulgaria pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AFP

CLAIREFONTAINE, Perancis: Kylian Mbappe terlalu bagus dan satu hari dia akan menyamai pencapaian Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dengan memenangi anugerah Ballon d’Or, menurut rakan sepasukan kebangsaan Perancis, Blaise Matuidi, semalam.

Walaupun Mbappe dan Matuidi tidak pernah menjadi rakan sepasukan di kelab, mereka sudah tampil bersama dalam pasukan kebangsaan.

Mendapat peluang sekali lagi mengkaji Mbappe secara dekat dan peribadi ketika latihan pusat pasukan Perancis di Clairefontaine menjelang dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria dan Belarus, Matuidi ternyata kagum.

“Harapnya dia akan terus begitu, kami bertuah memiliki pemain sepertinya dalam pasukan, kami perlu menggunakan sepenuhnya kehebatan mereka,” kata Matuidi.

“Dia (Mbappe) seseorang yang boleh membantu anda menang perlawanan dengan kepintarannya.

“Dia merendah diri, ia terlalu hebat di sebalik bakat yang dimilikinya.

MATUIDI (tengah) yakin Mbappe akan menyamai pencapaian Messi, Ronaldo. FOTO/AFP

“Dia sedia bekerja keras, melakukan lebih lagi. Dia pasti mempunyai masa depan cerah.

“Saya percaya dia antara pemain yang satu hari boleh memenangi Ballon d’Or.”

Matuidi, 30, yang bermain 58 kali buat Perancis berkata, dia tidak pernah bertemu pemain lebih berbakat berbanding Mbappe sepanjang karier profesionalnya.

“Secara jujurnya, tidak,” katanya mengenai bintang berusia 18 tahun itu. “Pada usia itu, apa yang dilakukannya amat luar biasa.

“Dia seorang pemain hebat - dia muda tapi kelihatannya seperti berusia 30 tahun.”

Perancis mendahului Kumpulan A zon Eropah dengan satu mata menjelang dua aksi terakhir mereka, menyedari hanya mata maksimum menjamin tempat ke Russia 2018.

Bagaimanapun, sebarang kesilapan di laman lawan menentang Bulgaria awal pagi Ahad ini akan menyaksikan mereka dipintas Sweden, yang berdepan pasukan kerdil Luxembourg.

Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia dengan pasukan naib juara beraksi dalam penentuan play-off.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:36 AM