GONG Kedak Cycling Team antara pasukan yang bakal bersaing di HMMTB 2017.


Dungun: Gong Kedak Cycling Team (GKCT) menyenaraikan empat pelumbanya untuk menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 yang akan berlangsung di Kerteh, Sabtu ini.

Walaupun gagal mencapai sasaran untuk menghantar lebih ramai pelumba tetapi pasukan berkenaan tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk memeriahkan perlumbaan anjuran Harian Metro itu.

Setiausaha GKCT, Masri Sarmidee berkata, kelabnya menyasarkan untuk menghantar lebih ramai pelumba tetapi akibat komitmen terhadap tugas masing-masing menyebabkan mereka gagal berbuat demikian.

Menurutnya, semua ahli kelab itu terdiri daripada anggota tentera dan ramai yang tidak dapat menyertai kejohanan kali ini kerana ada yang terpaksa bertugas termasuk berkursus dan menjalani latihan ketenteraan.

“Kami sangat berbangga apabila HMMTB dibuat di Kerteh iaitu di Terengganu tetapi kecewa kerana ada pelumba kami yang terpaksa bertugas.

“Bagaimanapun, demi memeriahkan HMMTB nanti, kami dapat menyenaraikan empat pelumba untuk meraih pengalaman dan bersaing dengan pelumba lain,” katanya.

Masri berkata, pengalaman dua pelumbanya yang berjaya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik ketika HMMTB di Kulim, Kedah tahun lalu membakar semangat mereka untuk menyenaraikan lebih ramai pelumba kali ini.

Katanya, walaupun tidak ramai yang dapat menyertai perlumbaan di Kerteh nanti tetapi kelabnya tetap berhasrat menghantar seberapa banyak penyertaan pada perlumbaan akan datang.

“Kami kini sedang giat menjalani latihan meningkatkan stamina dengan berkayuh di sekitar kawasan kem dan beberapa jalan utama yang berbukit.

“Kali ini kami tidak mensasarkan kedudukan terbaik memandangkan beberapa pelumba harapan kelab tidak dapat menyertai perlumbaan kerana terpaksa bertugas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedar HMMTB akan turut disertai pelumba yang berpengalaman tetapi tetap akan cuba memberi saingan terbaik dalam perlumbaan itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 10:15 AM