KANE (kiri) jadi inspirasi England. FOTO/AFP
KANE (kiri) jadi inspirasi England. FOTO/AFP
AFP

LONDON: England bergantung harap kepada penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane untuk mengemudi mereka ke pusingan akhir Piala Dunia apabila mereka berdepan Slovenia dalam aksi kedua terakhir kelayakan awal pagi Jumaat ini.

Selepas kemarau jaringan Ogos lalu, Kane yang berusia 24 tahun bertindak cemerlang pada bulan September apabila menjaringkan 13 gol dalam lapan perlawanan buat kelab dan negara.

Kemenangan ke atas Slovenia di Wembley akan memastikan tempat England ke Piala Dunia di Russia tahun depan dan dengan Kane menjaringkan gol secara kerap, rakan sepasukannya akan tampil dengan lebih keyakinan.

“Dia amat cemerlang,” kata penjaga gol Joe Hart kepada wartawan di pangkalan latihan England, St George’s Park.

“Dia menjaringkan banyak gol setaraf dengan pemain bertaraf dunia dan dia sudah melakukannya banyak musim. Harry berhak berada dalam kelompok itu.

HART harap Kane dapat teruskan kecemerlangan menjaringkan gol. FOTO/AFP
HART harap Kane dapat teruskan kecemerlangan menjaringkan gol. FOTO/AFP

“Dia mempunyai (Mauricio) Pochettino, seorang daripada pengurus terbaik di dunia, yang menyanjung dan mempercayai kebolehannya.

“Harry cemerlang dengan apa yang dilakukannya dan dia antara yang terbaik di luar sana. Dia terus menerus menjaringkan gol dan anda tidak boleh meminta lebih daripadanya. Harapnya ia berterusan dalam jangka masa lama bersama England.”

Sejak Kane kembali ke kancah antarabangsa hujung musim lalu selepas pulih daripada kecederaan, golnya membantu England kendalian Gareth Southgate dalam laluan baik untuk layak.

Gol penyamaannya pada minit ke-93 membantu England mengelak daripada mengalami kekalahan pertama menentang Scotland sejak 1999 ketika seri 2-2 Jun lalu di Glasgow dan dia meledak dua gol apabila anak buah Southgate membenam Malta 4-0 di laman lawan bulan lalu.

Kane dan pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson berkongsi lilitan lengan kapten England dalam empat perlawanan terakhir dan kapten pada perlawanan awal pagi Jumaat ini akan memberikan bayangan pilihan sebenar Southgate bagi mengetuai pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:38 PM