HAMILTON berasakan ada sesuatu tidak kena pada jenteranya. FOTO/REUTERS
AFP

SUZUKA, Jepun: Lewis Hamilton mengintai peluang untuk menebus kekalahan di Malaysia pada perlumbaan Grand Prix Jepun, hujung minggu ini.

Juara dunia tiga kali dari Britain itu terpaksa berpuas hati di tangga kedua di belakang pemandu Red Bull, Max Verstappen di Sepang Ahad lalu selepas meraih petak utama kesembilan musim ini dan ke-70 sepanjang kariernya.

Di sebalik mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu di depan pencabar dari Ferrari, Sebastian Vettel kepada 34 mata dengan berbaki lima perlumbaan, Hamilton mengkritik pasukannya Mercedes.

“Ada beberapa masalah besar yang tidak boleh saya jelaskan kepada anda,” katanya. “Ada perkara yang berlaku sepanjang hujung minggu dan tidak boleh diterima dalam pasukan sehebat ini.”

Hamilton hadir ke perlumbaan di Suzuka tahun lalu dengan nada marah dan cuba menenangkan fikiran selepas membangkitkan kemungkinan konspirasi Mercedes terhadapnya berikutan kegagalan enjin di Malaysia.

Namun pemandu Britain itu mencetus lebih kontroversi apabila dia dikritik kerana mengepos gambar dalam media sosial ketika sidang akhbar.


WOLFF mahu pelumba Mercedes kutip mata banyak mungkin. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Berang dengan akhbar tabloid yang mengutuknya, Hamilton kemudiannya enggan menjawab soalan selepas sesi kelayakan di Suzuka ketika perbalahan itu semakin memuncak.

Hamilton, pemenang tiga kali di Jepun, berharap persembahan lebih bagus daripada keretanya minggu ini berbanding di Malaysia.

“Setiap mata berharga,” kata prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff.


HAMILTON (kiri) mengkritik Mercedes. FOTO/AIZUDDIN SAAD

“Kami bernasib baik sekali lagi (di Malaysia) dan kami menjangkakan saingan sengit antara kami, Ferrari dan Red Bull di Suzuka.”

Hamilton, yang mengumpul 281 mata berbanding Vettel 247, memberi amaran Ferrari akan memberi saingan sengit kepada Mercedes.

Vettel berakhir di tangga keempat sekalipun bermula dari petak terakhir manakala Kimi Raikkonen mengalami masalah enjin yang menyaksikannya terkeluar daripada perlumbaan itu.

Hamilton merampas kembali kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan pemandu daripada Vettel di Monza bulan lalu namun Mercedes, yang mendominasi sukan itu sejak beberapa tahun kebelakangan, berdepan ancaman besar Ferrari dan Red Bull.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 2:14 PM