PASUKAN IPD Kemaman tidak mahu lepaskan peluang.


Chukai: Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bakal menyenaraikan 12 pelumba bagi memeriahkan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2017 di Kerteh, Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Asisten Superintendan Khairil Abdullah berkata, semua pelumbanya bersemangat menyertai HMMTB terutamanya selepas lokasi pertandingan yang dipilih pihak penganjur berada di bawah kawasan pentadbiran mereka.

“Misi pasukan kami menyertai satu kejohanan setiap sebulan dan setakat ini sudah banyak kejohanan di Terengganu dan Kelantan yang sudah kami sertai.

“Kami berasa seolah-olah ada yang tak kena sekiranya tidak menyertai HMMTB ini walaupun tahu kehadiran ramai pelumba berpengalaman tetapi kami tetap mempertaruhkan dua pelumba terbaik kami untuk mencabar kedudukan podium dalam perlumbaan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, kawasan Bukit Mentok lokasi latihan mereka setiap hari bagi mencari kekuatan mental dan fizikal sebelum perlumbaan.

“Kami juga sering berkayuh dari Chukai ke Air Putih kerana laluan berkenaan turut mempunyai beberapa kawasan berbukit sejauh 40 hingga 60 kilometer,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menjalani latihan secara berterusan hinggalah esok iaitu sehari sebelum perlumbaan bagi mengekalkan momentum kayuhan.

“Pasukan kami juga sentiasa sentiasa berhati-hati ketika latihan kerana kami tidak mahu ada masalah kecederaan berlaku,” katanya.

Khairil berkata, pasukannya turut menumpukan perhatian terhadap taktikal dan teknikal selain latihan meningkatkan stamina serta ketahanan fizikal.

“Yang penting, penyertaan kami ini lebih fokus untuk menjalinkan hubungan kerjasama serta mendekatkan anggota polis dengan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 11:25 AM