TUNKU Ismail (tengah) ketika berucap pada sidang media Kongres Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di PERSADA semalam.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mempunyai misi lebih besar sepanjang tahun depan dengan fokus bukan saja memperoleh pencapaian membanggakan di dalam padang, tetapi mencakupi pencapaian di luar padang.

Komitmen itu dibuktikan menerusi pelantikan individu penting bagi memperkuat dan memperkasakan pasukan berkenaan, dalam usaha memantapkan pengurusan dari aspek komersial dan penjenamaan semula.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menaruh kepercayaan dengan melantik empat individu penting bagi memikul tanggungjawab meneruskan hala tuju masa depan pasukan itu selepas menerajuinya sejak 2013.

Empat muka baru yang diberikan jawatan membabitkan Alistair Edward selaku Pengarah Teknikal, K Sukumaran (Pengurus Pembangunan); Martin J Hugo Prest (Pengarah Sukan) dan Luciano Figueroa sebagai Duta dan Perhubungan Antarabangsa.

Ia antara penstrukturan dilakukan kelab berkenaan sempena Kongres Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) semalam termasuk membabitkan penstrukturan semula organisasi pasukan di bawah kelab bola sepak JDT, komersial dan penjenamaan.

Tunku Ismail berkata, penstrukturan dilakukan kerana mahu kelab berkenaan melangkah lebih jauh bukan saja di padang, tetapi luar padang.

“Tumpuan saya untuk tahun depan adalah untuk pergi besar-besaran, bukan saja pencapaian dalam padang tetapi pencapaian luar padang, dalam segi komersial dan penjenamaan.

“Untuk itu, kita memberi banyak tumpuan supaya kelab ini boleh berfungsi tanpa penaja dengan bajet baik dan pendapatan stabil,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, penukaran struktur dilakukan dengan mengambil kira kehadiran syarikat-syarikat luar yang akan menaja kelab itu sekali gus memberi lebih kemudahan kepada mereka.

Paling penting katanya, ia bagi memastikan setiap individu mempunyai tugas masing-masing selepas menerajuinya sejak 2013 hingga kini.

“Saya sebenarnya sudah penat, semua kerja saya buat, saya yang merancang reka bentuk pengangkutan, saya yang merancang reka bentuk dalam stadium, padang apa, karpet letak warna apa.

“Saya juga yang merancang pelan akademik, reka bentuk stadium baru termasuk saya yang memilih pemain dari 2013 hingga hari ini,” katanya.

Tunku Ismail berkata, sudah tiba masanya beliau berehat selain mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam negeri.

“Jadi apabila saya ada struktur dan carta organisasi baru, saya letak individu-individu yang saya rasa boleh menjalankan tugas masing-masing untuk kurangkan beban saya dan membawa kelab ke tahap lebih tinggi dan itu sebabnya,” katanya.

Tunku Ismail bagaimanapun masih mengekalkan Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim sebagai Presiden Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT); Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani sebagai Pengerusi Yayasan JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 11:57 AM