LOEW (tengah) harap pasukan Jerman segera bangkit dalam aksi Liga Juara-Juara.
AFP

BELFAST: Joachim Loew berharap Jerman, yang berada di ambang layak ke Piala Dunia di Russia tahun depan, boleh mengembalikan kebanggaan negara di Ireland Utara selepas beberapa siri membimbangkan mengenai keputusan diraih kelab negara itu di Eropah.

Jerman, dengan 24 mata, menang semua lapan perlawanan kelayakan mereka namun masih belum pasti menjuarai Kumpulan C kerana Ireland Utara mengumpul 19 mata.

Menang atau seri Jerman akan terjamin tempat ke Russia tahun depan dalam usaha mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka di Brazil tiga tahun lalu.

Ireland Utara sudah terjamin dua tangga teratas Kumpulan C dan akan memastikan satu daripada lapan tempat ke play-off jika mereka menang awal pagi esok.

Namun di sebalik kejayaan antarabangsa, Loew bimbang dengan keadaan kelab Jerman selepas Bayern Munich, Borussia Dortmund, RB Leipzig, Hertha Berlin, Hoffenheim dan Cologne semuanya tumpas dalam Liga Juara-Juara atau Liga Europa minggu lalu.

Kemenangan Bayern ke atas Anderlecht satu-satunya kejayaan kelab Jerman dalam peringkat kumpulan pertandingan sebenua musim ini selain sembilan kekalahan, sesuatu yang membimbangkan jurulatih kebangsaan.

“Persembahan lembik kelab Jerman di Eropah harapnya hanya bersifat sementara, tapi ia menakutkan,” ujar Loew.

“Adakah ia satu trend biasa? Saya boleh katakan ia terlalu awal. Tapi kini kami memikirkan mengenai bagaimana unuk meningkatkan beberapa perkara dalam Bundesliga dan silap jika kami memuji Bundesliga berlebih-lebihan atau menyatakan hanya Bundesliga menghasilkan bakat terbaik.

“Ia tidak benar dan kami perlu menerima hakikat itu.”

Loew berkata, kini terpulang kepada pasukan kebangsaan untuk mengibarkan bendera Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:12 PM