X
SIMONA (kanan) mudah tewaskan Maria dengan 6-2, 6-2 pada pusingan ketiga Terbuka China. FOTO/AFP
SIMONA (kanan) mudah tewaskan Maria dengan 6-2, 6-2 pada pusingan ketiga Terbuka China. FOTO/AFP
AFP

BEIJING: Pemain nombor dua dunia, Simona Halep menewaskan Maria Sharapova 6-2, 6-2 pada pusingan ketiga Terbuka China lewat malam tadi, kemenangan pertamanya ke atas ratu tenis Russia itu dalam lapan pertemuan.

“Ia perlawanan yang hebat, saya fikir saya beraksi pada tahap terbaik menentangnya. Saya membuat pukulan servis dengan baik dan kerja keras yang saya lakukan selepas Terbuka Amerika Syarikat, saya sudah dapat lihat hasilnya.

“Saya amat gembira kerana mampu melakukannya. Ia kemenangan sulung ke atas Maria dan saya mahu menikmati kejayaan ini,” kata Simona.

Sementara itu, Maria bersetuju dengan penilaian yang dibuat Simona berhubung pertemuan kedua-dua pemain itu bagi kali kedua dalam tempoh enam minggu selepas tidak beraksi menentang pemain Romania itu hampir dua tahun.

“Saya fikir dia bermain dengan baik, mungkin yang terbaik prestasinya ketika menentang saya. Saya tidak tajam seperti biasa, saya tidak seperti selalu ketika saya menentangnya.

“Dia memukul bola dengan konsisten, tidak melakukan kesilapan dan peratusan pukulan servisnya tinggi. Dia melakukan semua perkara yang betul,” kata Maria.

Kemenangan itu menyaksikan Simona mara ke suku akhir dan akan membuat perhitungan dengan pemain Russia, Daria Kasatkina.

Terdahulu, Daria mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik selepas melakar kejutan menewaskan juara bertahan Agnieszka Radwanska dari Poland 4-6, 7-5, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:32 PM