DAVIDS (tengah) bergambar bersama Fauzan (kiri) dan Aiman selepas tamat saingan peringkat ketiga Perlumbaan JM2017.
Azlan Muhammad Zain dan Fadhli Ishak


Kulim: Dominasi Terengganu Cycling Team (TSG) dalam dua peringkat awal berakhir apabila pelumba Oliver’s Real Food Racing, Brendon Davids secara solo melintasi garisan penamat peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) semalam.

Dia meninggalkan kelompok besar pelumba ketika perlumbaan dari Kuala Kangsar memasuki jarak 63 kilometer di Bukit Sumpitan untuk menang dengan masa tiga jam 20 minit 15 saat, manakala pelumba PDRM, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi kedua diikuti pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Aiman Cahyadi.

Ia membolehkan Davids menyarung jersi kuning bagi mendahului kategori individu keseluruhan dengan masa 10.31:29s, meninggalkan rakan sepasukan Ryan Thomas di kedudukan kedua dengan masa 10.32:31s.

Bagaimanapun, ia bukan jaminan kepada pasukan dari Australia itu untuk mengekalkan jersi utama yang menjadi rebutan apabila kemuncak perlumbaan akan berlangsung hari ini membabitkan pendakian ke puncak Gunung Jerai setinggi 1,217 meter, kategori hors.

“Kami sudah meraih jersi kuning dalam dua peringkat, kami akan berjuang mempertahankannya walaupun sedar ia sukar. Ia akan menjadi bonus jika menang kerana ia adalah pendakian yang sukar,” jelas Davids.

Mana-mana pelumba yang menjuarai peringkat keempat hari ini dengan catatan masa yang selesa dijangka muncul pemenang jersi kuning walaupun perlumbaan masih berbaki satu peringkat esok.

Tumpuan terarah kepada pelumba TSC dari Columbia, Victor Nino Corredor yang mempunyai rekod pendakian yang cemerlang.

Dia pernah meraih tempat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semasa peringkat pendakian ke Genting Highlands ketika mewakili Azad University Cycling Team dari Iran.

“Esok pendakian yang sukar, saya tidak tahu bagaimana namun jika badan berada dalam keadaan baik, saya akan cuba menang peringkat keempat.

“Saya tidak melihat diri sendiri sebagai pelumba pilihan kerana ramai lagi pelumba yang mampu berkayuh dengan baik namun saya akan cuba,” tambah pelumba berusia 44 tahun itu.

Bagi kategori jersi kuning, dia kini mengumpul 10.34:06s pada kedudukan ke-17 keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:52 AM