BERG (tengah) menjaringkan gol keempat untuk dirinya dalam aksi menentang Luxembourg. FOTO/AFP
BERG (tengah) menjaringkan gol keempat untuk dirinya dalam aksi menentang Luxembourg. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Marcus Berg meledak empat gol ketika menjulang Sweden meraih kemenangan besar 8-0 ke atas Luxembourg dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Sweden terus menekan Perancis dalam Kumpulan A untuk pemburuan slot ke Russia tahun depan.

Berg yang beraksi bersama kelab Al Ain kembali meletakkan Luxembourg di ‘tempat sepatutnya’ ketika pasukannya itu hadir ke Solna dengan pencapaian baik selepas mengikat Perancis tanpa jaringan, bulan lalu.

Selepas Andreas Granqvist menyempurnakan penalti pada minit ke-10, Berg, 31 memulakan ‘kenduri’ jaringan lapan minit kemudian sebelum menambah gol ketiga Sweden untuk menamatkan babak pertama dengan kelebihan tiga gol.

Selepas aksi bersambung, Berg melengkapkan hatriknya, diikuti gol kelima menerusi pertahanan Celtic, Mikael Lustig.

Granqvist sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti, disusuli gol keempat Berg sebelum dia dibawa keluar.

Bagaimanapun, detik memalukan Luxembourg berterusan dan kali ini Ola Toivonen mencetak nama selaku penjaring ketika melengkapkan jaringan kelapan Sweden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:11 PM