FAUZAN (tengah) bersama Muaz (kiri) dan pemenang ketiga, Abdul Halim Hasan (kanan) dengan pingat dan replika cek masing-masing di Kerteh, Terangganu. FOTO/ZULFADHLI ZULKILFI.
Aida Adilah Mat


BIARPUN menamatkan cabaran di tangga kedua perlumbaan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, Muaz Abdul Rahim tetap berpuas hati dengan keputusan itu.

Muaz tewas kepada rakan sepasukan Fauzan Lutfi dalam satu persaingan sengit namun mengakui pelumba negara itu mempunyai kelebihan tersendiri.

Kata Muaz, dia meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga terbaik di Kerteh dan gembira apabila apa yang disasarkan itu tercapai.

“Alhamdulillah saya puas hati apabila dapat mengekalkan momentum dan memperbaiki pencapaian di Bukit Merah.

“Di Bukit Merah saya dapat nombor tiga, Kerteh dapat nombor dua jadi di Sungai Buaya nanti saya akan cuba mengekalkan kedudukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada mampu menewaskan Fauzan yang juga juara bertahan, Muaz yang juga Anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, dia memang memasang keinginan itu namun itu bukan keutamaannya tahun ini kerana mereka rakan sepasukan.

Pada aksi kedua HMMTB di Kerteh, Fauzan sekali lagi berjaya mengungguli saingan apabila menamatkan perlumbaan selaku juara dengan catatan 1 jam 19 minit 30 saat diikuti Muaz 1’19:34s dan Abdul Halim Hasan dari Nadiz Cycling Team 1’20.33s ketiga.

Menurut Muaz, cabaran di Kerteh pada perlumbaan kali ini agak mencabar terutama di 10 kilometer terakhir yang menawarkan laluan berbukit yang berbatu.

Bagaimanapun sebagai pelumba berpengalaman ia sebenarnya memberi kelebihan kepadanya untuk meninggalkan lawan terutama dari Thailand yang mengekori sejak awal perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 3:53 PM