Pemain futsal kebangsaan (tengah) diasak pemain  Kuantan Rangers (kiri)   di Dewan Tertutup Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.
Pemain futsal kebangsaan (tengah) diasak pemain Kuantan Rangers (kiri) di Dewan Tertutup Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.
Mohd Fauzi Abdullah


Kuantan: Enggan episod duka berulang apabila gagal beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan 2017, Kuantan Rangers FC melakukan transformasi antaranya membawa masuk dua pemain kebangsaan yang membantu Malaysia memenangi pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi memperkuatkan pasukan.

Pemain terbabit adalah Yazid Kamaruzuan dan Akmarulnizam Idris selain dua pemain futsal kebangsaan bawah 20 tahun, Harith Naim Mohd Nasir serta Iskandar Harun.

Bagi memantapkan pasukan, Kuantan Rangers FC yang dimiliki Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muadzam Shah Sultan Ahmad Shah turut mendapatkan khidmat bintang futsal terkemuka dunia, Rico Zulkarnain untuk membantu mempersiapkan pemain.

Rico berperanan membantu pemain muda bagi menerapkan permainan berkualiti dan kemahiran berdasarkan pengalaman luas dimilikinya.

Pengendali Kuantan Rangers FC Mohammad Faizul Abdul Gaffar berkata, persiapan menghadapi kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2018 yang dijangka diadakan penghujung tahun sedang giat dilakukan.

Katanya, mereka mengambil pemain berpengalaman daripada pasukan kebangsaan untuk mengimbangi kekuatan yang majoritinya pemain muda dan sedang membuat pemilihan sebelum senarai akhir.

“Setakat ini, semua berjalan lancar dan kita sedang mencari pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan.

“Wajib untuk kita layak selepas dua kali mencuba, tiada lagi alasan kita melakukan persediaan lewat kerana sudah membuat persiapan hampir setahun,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara pasukannya menentang pasukan futsal kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Kuantan Rangers FC tewas 0-7 kepada skuad futsal kebangsaan yang dikendalikan Chiew Chun Yong.

Mohammad Faizul berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi cubaan kali kedua pasukannya untuk layak beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan menjadi kenyataan.

“Kita juga sudah menyertai beberapa kejohanan termasuk Liga Futsal Brunei pada Ogos lalu yang mana kita muncul juara, jadi persediaan dilakukan agak rapi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan persahabatan berkenaan, Mohammad Faizul berkata keputusan perlawanan tidak penting kerana beliau lebih menitikberatkan pengalaman diperoleh pemainnya.

“Apa lebih penting pemain dapat belajar dan memperbaiki permainan serta kemahiran mereka bagi memantapkan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:00 PM