AMIRUL kembali  ke kancah Cub Prix bersama pasukan Onexox TKKR Racing.
AMIRUL kembali ke kancah Cub Prix bersama pasukan Onexox TKKR Racing.
Sukhairi Thani


BEKAS pelumba Moto3, Amirul Hafiq Azmi mahu terus meningkatkan prestasinya bagi menghadapi cabaran CP150 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Selepas lama tidak beraksi, pelumba berusia 21 tahun itu kembali ke kancah Cub Prix bersama pasukan Onexox TKKR Racing sejak pusingan lalu di Kelantan namun Amirul gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dengan kemalangan pada pusingan kesembilan.

Bagaimanapun pelumba itu yakin dapat menyesuaikan diri bersama jentera Yamaha Y15ZR yang digunakan untuk mencatat keputusan lebih baik minggu ini.

“Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera Cub Prix ini selepas agak lama meninggalkan saingan Cub Prix. Mujur pasukan banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar, begitu juga dengan rakan seperti Mohd Helmi (Azman),” kata Amirul.

“Kali ini saya lebih memahami aspek teknikal jentera dan juga suasana cabaran saingan CP150 yang amat sengit memandangkan kategori ini membabitkan pelumba negara yang cukup berpengalaman.”

Pada masa sama pelumba itu cukup teruja kerana dapat kembali ke litar termasuk beraksi dalam kategori Asia Production 250cc di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Saya berterima kasih kepada pasukan Onexox TKKR Racing kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada saya. Peluang ini tidak akan saya sia-siakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:15 PM