SHATHIANATHAN (kanan) sedang merancang strategi bersama anak buahnya. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
Zulfaizan Mansor


FELDA United FC perlu mengelak sejarah hitam tewas 1-3 kepada PKNP FC di gelanggang sendiri pada suku akhir Piala Malaysia bulan lalu berulang apabila melayan kunjungan Kedah bagi aksi separuh akhir pertama trofi berprestij itu, Ahad ini.

Perkara itu disuarakan jurulatih The Fighters, B Sathianathan yang menjelaskan, mustahil untuk pasukannya bangkit pada aksi timbal balik jika tewas kepada juara bertahan itu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Katanya, Kedah pasukan yang kuat dan anak buahnya perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, 21 Oktober ini.

“Kami tidak boleh ulangi kesilapan sama ketika tewas dengan jaringan yang besar kepada PKNP pada perlawanan pertama (suku akhir) di gelanggang sendiri.”

“Kedah bukan macam PKNP, mereka pasukan yang lebih kuat. Kalau kami tewas 1-0 pun mungkin sukar untuk bangkit balik di tempat mereka nanti. Walaupun kami pernah tewaskan Kedah 3-1 dalam saingan Liga Super di Darul Aman, namun harus diingat ketika itu mereka tidak menurunkan kesebelasan utama,” kata Sathianathan.

FELDA United menunjukkan kebangkitan luar biasa pada suku akhir kedua selepas menewaskan PKNP FC 4-1 di Stadium Shah Alam untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.

Pertemuan antara FELDA United dan Kedah adalah ulangan separuh akhir Piala Malaysia 2015 yang menyaksikan Helang Merah menyingkirkan The Fighters dengan agregat 4-3.

Walaupun menganggap Kedah sebagai pasukan yang lebih lengkap, Sathianathan bagaimanapun tidak menidakkan kemampuan anak buahnya untuk mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama.

“Memang Kedah memiliki barisan pemain terbaik, namun kami juga ada peluang. Saya yakin pemain saya akan memberi tentangan yang sengit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:38 PM