INSA dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM

KETENANGAN Natxo Insa mengemudi jentera tengah Johor DT ( Johor Darul Ta’zim) menyaksikan pemain Harimau Selatan itu dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my edisi September 2017.

Bekas pemain Levante itu mendapat undian tertinggi menewaskan empat lagi pencabar lain apabila meraih 46.11 peratus undi (2,847 undian), jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Marko Simic (Melaka United) yang mencatat 29.95 peratus (1,849 undian).

Penggempur berbisa FELDA United, Thiago Augusto mengutip 9.85 undian (608 undian), sementara bintang import Pahang, Matheus Alves meraih 7.18 peratus undi (443 undian).

Satu-satunya pemain tempatan yang dicalonkan bagi anugerah terbabit yang juga adalah rakan sepasukan Thiago di FELDA United, Wan Zack Haikal yang sekadar berpuas hati dengan 6.12 peratus undi (427 undi).

Undian dilakukan oleh penyokong bola sepak tempatan di laman sesawang rasmi PFAM sepanjang minggu bermula 2 Oktober lalu sehingga 12 tengah hari, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 8:22 PM