HAFIFI didapati menggunakan bahan terlarang - anabolic steroid oxymetholone yang mampu  meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot. FOTO/ROSLI RAHMAT
HAFIFI didapati menggunakan bahan terlarang - anabolic steroid oxymetholone yang mampu meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot. FOTO/ROSLI RAHMAT
Fadhli Ishak


SELEPAS insiden doping dan rogol membabitkan atlet terjun negara selain jurulatih tenis berkerusi roda dipenjara atas dakwaan meliwat, arena sukan Malaysia menerima satu lagi tamparan hebat, hari ini.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengumumkan di laman web rasmi badan induk itu yang mereka menggantung sementara atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor kerana didapati positif menggunakan bahan terlarang - anabolic steroid oxymetholone.

Hafifi yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 berdepan penggantungan selama empat tahun kerana oxymetholone adalah bahan untuk meningkatkan prestasi yang meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot.

Ia disifatkan sebagai bahan terlarang yang serius oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di bawah kategori S1.

Bagaimanapun, Hafifi mempunyai pilihan untuk menguji sampel B.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF), Datuk Ong Poh Eng, berkata badan induk itu masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai isu berkenaan dan sedang mendapatkan penjelasan daripada IWF.

“Kami hanya mengetahui perkara ini semalam dan masih belum jelas mengenai maklumat lanjut termasuk bila ujian itu dijalankan. Kami difahamkan, sampel diambil ketika kejohanan di Melbourne, Mac lalu tetapi saya perlu mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada IWF.”

“Saya ada bertemu dengan Hafifi hari ini dan dia berkata dia tidak mengambil sebarang bahan terlarang. Apapun, saya perlu dapat maklumat lebih terperinci,” katanya.

Difahamkan sampel air kencing diambil ketika Terbuka Australia di Melbourne, Mac lalu yang menyaksikan Hafifi berjaya memenangi pingat emas kategori bawah 69 kilogram.

Sementara itu, Hafifi gagal untuk dihubungi tetapi sumber rapat kepada atlet berkenaan berkata dia mahu menjalankan ujian ke atas sampel B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:22 PM