AGUERO (kiri), dan penyerang Napoli, Lorenzo Insigne dilihat mampu hasilkan gol.
AFP

LONDON: Dua pasukan hebat di lima liga utama di Eropah, Manchester City dan Napoli bakal membuat perhitungan sesama sendiri pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, awal pagi Rabu ini.

Aksi ini menjadi platform buat kedua-duanya menutup segala kritikan terhadap pasukan ketika skuad Pep Guardiola kini hebat dengan purata 3.625 gol dalam setiap perlawanan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 7-2 ke atas Stoke City, kelmarin menyaksikan The Citizens muncul pasukan pertama menjaringkan 29 gol dalam lapan perlawanan pertama sejak dilakukan Everton pada 1894.

Kemenangan 1-0 ke atas AS Roma, malam tadi menjadikan Napoli memiliki purata jaringan tiga gol dalam setiap perlawanan dan turut mencipta rekod baharu dalam saingan Serie A, Itali.

Kedua-dua pasukan yang terkenal dengan warna biru langit itu kini gah di pertandingan domestik.

Sergio Aguero, Gabriel Jesus dan Raheem Sterling masing-masing sudah menjaringkan tujuh gol dalam semua pertandingan dan Leroy Sane mengumpul enam gol, sekali gus memberi amaran ngeri kepada lawan.

Pemain utama, Kevin De Bruyne memiliki visi, kualiti daripada segi teknikal yang sempurna dan kemampuan menjaringkan gol menjadikannya pemain tengah menyerang paling bahaya di pentas Eropah.

“Dia antara seorang pemain terbaik dunia,” kata Jesus merujuk kepada De Bruyne yang menjadi pencetus kepada dua gol yang terhasil ketika kemenangan ke atas Stoke.

“Kualitinya cukup hebat untuk memudahkan kerja kami secara berpasukan. Dia jadi penghubung antara pemain dan semua itu menjadikannya seseorang yang cukup istimewa.”

Jurulatih Napoli, Maurizio Sarri turut hebat merencanakan sentuhan penyudah ketika pasukan itu menghasilkan 26 gol dalam lapan perlawanan Serie A.

“Dia seorang yang genius. Dia dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu lihat,” kata pertahanan Napoli dari Senegal, Kalidou Koulibaly.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 2:42 PM