PEMAIN B-19 Kedah meraikan kejayaan setelah muncul juara Piala Belia selepas menumpaskan pasukan B-17 SSMP di Stadium Darulaman. -Foto AMRAN HAMID
Adha Ghazali
sukan@hmetro.com.my


GOL tunggal separuh masa kedua di Stadium Darul Aman memberi kelebihan buat Kedah untuk membenam Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP B-17) sekali gus muncul juara Piala Belia 2017.

Walaupun aksi timbal balik berakhir dengan keputusan agregat 3-3, keputusan berpihak kepada skuad kendalian Mohamad Ramlee yang memiliki kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

Kedah sebelum ini tewas 3-2 di tangan SSMP B-17 yang hadir selaku juara bertahan, dalam aksi awal saingan akhir Piala Belia di Shah Alam pada Rabu lalu.

Kapten Kedah, Muhammad Asnawi Sonkurnain muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukannya untuk muncul juara.

Gol pada minit ke-55 perlawanan itu hasil selepas tandukan Muhammad Asnawi di dalam kotak penalti, bermula daripada hantaran Mohd Khairuddin Mohd Salleh yang gagal diselamatkan penjaga gol SSMP B-17, Aidil Mirza Darwisy Mazhisam.

Gol di awal babak kedua itu menyuntik semangat buat Kedah untuk terus melancarkan serangan dengan Muhammad Akhyar Abdul Rashid menggunakan kelincahannya untuk mengucar-kacirkan pertahanan SSMP B-17.

SSMP B-17 turut mencipta beberapa peluang khususnya melalui tonggak hadapannya, Muhammad Alif Safwan Sallahuddin dan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau, namun gerakan mereka sering kali dibayangi benteng Kedah yang diketuai Muhammad Asnawi.

Suasana meriah menyelubungi Stadium Darul Aman sejurus wisel penamat ditiup pengadil Muhammad Shahrul Amin Abd Aziz, dengan disusuli lagu keramat Lang Merah, Biar Jasa Jadi Kenangan.

Trofi disampaikan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Aminuddin Omar, kepada Muhammad Asnawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:55 PM