AKSI United ketika menentang Liverpool. -Foto AFP
AKSI United ketika menentang Liverpool. -Foto AFP
AFP

LONDON: Pertembungan Liga Juara-Juara antara Manchester United berdepan Benfica, awal pagi esok bakal mengimbau semula permusuhan yang membawa kepada permulaan zaman kegemilangan Red Devils sejak setengah abad lalu.

Benfica, menjadi pasukan popular dikalahkan United di Wembley pada 1968 untuk muncul selaku pasukan pertama England memenangi gelaran Piala Eropah.

Dua tahun sebelum itu, persembahan hebat George Best yang berusia 19 tahun di Estadio da Luz, Benfica menyaksikan dia mula mencipta nama di pentas antarabangsa.

Tetapi Benfica juga pernah ‘menghadiahkan’ mimpi ngeri buat United dan paling diingati ialah pada 2005, ketika gergasi Portugal itu menunjukkan jalan keluar kepada skuad kendalian Alex Ferguson di peringkat kumpulan.

Menyingkap sejarah pertemuan, kedua-dua pasukan kali pertama bertemu pada 1966 ketika United membuat penampilan semula dalam saingan Piala Eropah sejak nahas udara Munich 1958 membabitkan skuad Matt Busby.

Selepas United menang aksi timbal balik pertama di Old Trafford dengan agregat 3-2, kedua-dua pasukan kembali bertemu di Lisbon dan Benfica diganyang teruk 5-1.

Jaringan kedua Best pada minit ke-13, adalah satu daripada jaringan paling cantik pernah dilakukan bintang Ireland Utara itu apabila dia melepasi dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan rendah ke dalam gawang.

“Satu taufan melalui Estadio da Luz malam itu dan namanya adalah George Best,” kata bekas pemain sayap Benfica, Antonio Simoes.

Tajuk berita Portugal kemudiannya menggelar Best sebagai ‘anggota Beatle kelima’ dan selepas memakai topi sombreno ketika pulang ke England, tiba giliran media England pula memberi jolokan ‘El Beatle’ kepadanya.

Dua tahun kemudian, di bawah lampu limpah Wembley, Best sekali lagi menjadi watak pemusnah Benfica.

Dengan kedudukan terikat 1-1 di masa tambahan, dia bijak menyambut bola hantaran Alex Stepney, mengatasi penjaga gol Jose Henrique untuk mudah meletakkan United di depan.

Dua lagi jaringan Brian Kidd dan Bobby Charlton - jaringan peribadi keduanya dalam perlawanan melengkapkan kemenangan emosi, 10 tahun selepas nahas di Munich.

Benfica terpaksa menunggu 37 tahun untuk membalas dendam apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas United di Lisbon pada Disember 2005, sekali gus menyingkirkan skuad kendalian Alex Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 3:08 PM