LLORIS (kanan) berjaya menghalang Ronaldo daripada menjaringkan gol. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Dua aksi menyelamat menakjubkan daripada Hugo Lloris menghadiahkan Tottenham Hotspur satu mata berharga apabila mengikat juara Eropah, Real Madrid 1-1 dalam kempen Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan kekal dengan rentak tanpa kalah di peringkat Eropah musim ini dan berada di landasan baik untuk mara ke peringkat berikutnya.

Tottenham dan Real masing-masing mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan. Spurs meraih gol pembukaan hasil jaringan sendiri Varane pada minit ke-28, sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-43.

“Hugo menakjubkan dan dia patut diberikan hadiah yang besar. Dia menunjukkan tahapnya yang sebenar,” kata bos Spurs, Mauricio Pochettino.

“Hari ini kita lihat mengapa Hugo Lloris adalah antara seorang penjaga gol terbaik di dunia.”

Kedua-dua pasukan di tangga teratas Kumpulan H itu dijadual bertemu sekali lagi di Wembley pada 1 November ini.

Sementara itu, keputusan seri 1-1 yang dicatat dalam pertemuan Borussia Dortmund melawan APOEL Nicosia membuatkan kelab Jerman dan Cyprus itu kekal tercicir enam mata.

“Kami langsung tidak boleh gembira apabila gagal menang di laman sendiri, tetapi hari ini ada dua penjaga gol yang hebat,” kata pengurus Real, Zinedine Zidane.

“Keylor (Navas) untuk kami dan Lloris bagi pasukan mereka. Kadang kala kamu perlu menerimanya.”

Pertembungan bermula menarik dengan pemain berusia 18 tahun, Achraf Hakimi yang membuat penampilan sulung di Liga Juara-Juara bergandingan dengan Ronaldo dan hampir memecah kebuntuan, sebelum cubaan Karim Benzema selepas itu tersasar.

Selepas 10 minit aksi berlangsung, Tottenham mula mencemaskan Real apabila penyerangnya, Harry Kane sering mencetus bahaya di bahagian depan.

Sebelum perlawanan berlangsung, penyerang sensasi England itu dilabel Zidane sebagai “pemain yang lengkap” sekali gus meningkatkan spekulasi dia akan mengikuti jejak Luka Modric dan Gareth Bale yang berpindah ke Real.

“Satu mata di Bernabeu, kamu boleh menerimanya,” kata Kane. “Ia menunjukkan betapa jauh perjalanan kami sebagai satu pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:57 AM