MBAPPE (dari kiri), Neymar, Cavani meraikan kejayaan selepas mengalahkan Anderlecht 4-0. FOTO/AFP
AFP

BRUSSELS: Trio serangan Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Neymar atau jolokan ‘MCN’ semuanya meledak gol ketika gergasi Perancis itu merakam kemenangan besar Liga Juara-Juara dengan membelasah Anderlecht 4-0, awal pagi tadi.

Mbappe meletakkan PSG di depan seawal minit ketiga dan Cavani menyambar gol keempat daripada tiga aksi Liga Juara-Juara sebelum berakhir babak pertama.

Pertengahan babak kedua menyaksikan giliran Neymar pula meledak menerusi sepakan percuma, sebelum Angel Di Maria masuk dari bangku simpanan untuk melengkapkan pesta jaringan PSG.


NEYMAR (dua dari kiri) menanduk bola sambil dihalang pemain Anderlech. FOTO/AFP

Walaupun pendakwaraya sudah membuka siasatan terhadap Nasser al-Khelaifi susulan penjualan hak penyiaran Piala Dunia, presiden PSG itu tetap turun bagi melihat skuad bintangnya meraih kemenangan.

Pendahulu Ligue 1 itu kekal memiliki kelebihan tiga mata di depan Bayern Munich yang menumpaskan Celtic 3-0 di Jerman, untuk berada di puncak Kumpulan B.

“Ia tidak begitu sempurna buat kami di separuh masa pertama terutama dari segi penguasaan bola,” kata pengendali PSG, Unai Emery.

“Kami kadang kala dikejutkan dengan serangan kilat pasukan lawan, tetapi di babak kedua kami menemui lebih keseimbangan.

“Segala-galanya bermula baik dengan gol minit ketiga. Tetapi selepas itu kami kehilangan rentak. Dan kami tahu tiada aksi yang mudah untuk kami pada musim ini.”

Emery membuat empat pertukaran berbanding skuad yang menundukkan Dijon 2-1 dalam Ligue 1 minggu lalu, dengan Cavani dan Marco Verratti kembali disenaraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 9:25 AM