NAZIRUL (kiri) idam aksi final Piala Malaysia. -Foto BERNAMA
Mohamad Zulfaizan Mansor

TONGGAK pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim mengakui sangat mengidamkan aksi final pertama Piala Malaysia dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Justeru, pertahanan kiri berusia 24 tahun itu mahu merealisasikan impiannya dengan menyumbang sesuatu kepada skuad The Bos Gaurus pada aksi getir separuh akhir kedua berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu ini.

Sedar bukan tugas mudah untuk menjinakkan JDT di gelanggang lawan, Nazirul bagaimanapun menjelaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak.

“Ini kali pertama saya sampai ke separuh akhir Piala Malaysia dan saya meletakkan harapan tinggi untuk beraksi di final. Malah, kali ini Perak dibarisi pemain yang lebih baik berbanding musim lalu.

“Perak juga sudah lama tidak ke final, jadi ini masa terbaik untuk kami semua buktikan kemampuan sebenar skuad Perak.

“Namun, kami perlu bekerja keras kerana perlu menang ke atas JDT. Kami juga tahu JDT ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain mereka memiliki bekalan satu gol tempat lawan,” katanya.

Kali terakhir Perak mara ke final Piala Malaysia 10 tahun lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-3 kepada Kedah.

Sebelum itu, skuad The Bos Gaurus sudah mengecapi tujuh kejuaraan piala berprestij itu dengan kali terakhir pada tahun 2000 selepas menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan.

Selain itu, Nazirul yang juga tonggak skuad kebangsaan berkata, barisan pemain Perak sudah melupakan kekecewaan gagal mendapat bekalan selesa pada aksi pertama selepas terikat 1-1 dengan JDT di Stadium Perak, Ahad lalu.

“Buat masa ini semua pemain tampak positif sebab kami bermain sebagai satu pasukan, susah senang dan menang kalah tetap satu pasukan.

“Kalau nak cakap soal kesilapan, setiap pemain lakukan kesilapan. Apa yang perlu difikirkan ini adalah masa untuk kami tunjuk sesuatu di Larkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 10:16 PM