PEMAIN Napoli gigih berlatih menghadapi aksi Serie A. FOTO/AFP
PEMAIN Napoli gigih berlatih menghadapi aksi Serie A. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Napoli yang dikejutkan dengan kekalahan Liga Juara-Juara kembali memburu kemenangan apabila turun dalam pertembungan dua pasukan teratas Serie A berdepan Inter Milan di laman sendiri, malam esok.

Skuad Maurizio Sarri itu hanya mempunyai tempoh yang singkat untuk meratapi kekalahan 2-1 di Manchester City tatkala fokus mereka kini terarah kepada pertembungan itu yang dianggap penting dalam pemburuan gelaran Serie A.

Napoli kini berada di prestasi terbaik dengan menghimpun 24 mata daripada lapan aksi - dua mata di depan Inter - dan kemenangan akan membolehkan mereka terus selesa melebarkan kedudukan kepada lima mata berbanding pasukan tangga kedua itu.

Hanya kedua-dua pasukan itu kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah pada kempen Serie A musim ini.

“Kami tewas di atas padang tetapi bukannya dari segi semangat,” kata pemain tengah Amadou Diawara, yang meledak jaringan tunggal Napoli di Manchester.

“Saya gembira dengan gol di Manchester. Malang sekali keputusan itu, tetapi fikiran kami kini tertumpu kepada Inter,” kata pemain kebangsaan Republik Guinea itu.

“Pasukan membuktikan kekuatan dan karektor. Kami tahu ia sukar tetapi saya percaya ia akan menjadi perlumbaan yang menarik.

“Kami akan beraksi di San Paulo, di depan penyokong dan sudah tentu mereka akan memberi tambahan rangsangan. Tetapi Inter kini berada dalam keadaan terbaik.”

Inter yang memburu kemenangan sulung dalam tempoh dua dekad di San Paulo, memiliki kelebihan dari segi kecergasan selepas tidak beraksi dalam kempen Eropah.

Malah, skuad bimbingan Luciano Spalletti itu juga masih segar dengan kejayaan menewaskan AC Milan 3-2 dalam pertembungan tetangga yang menyaksikan penyerangnya Mauro Icardi meledak hatrik.

Sementara itu, Juventus yang kembali menemui rentak kemenangan akan membuat kunjungan ke Udinese yang berada di zon penyingkiran.

Juara enam musim berturut-turut Serie A itu hanya mengutip satu mata daripada dua aksi terakhir domestik untuk ketinggalan lima mata di belakang Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 2:10 PM