BIBI (kanan) yakin kepimpinan Tunku Ismail.
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyokong penuh kepimpinan dan usaha Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mengembalikan kegemilangan sukan nombor satu negara itu.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata kesungguhan badan induk itu di bawah kepimpinan Tunku Ismail sudah menunjukkan perubahan positif apabila skuad bawah 22 tahun (B-22) mara ke final Sukan SEA Ogos lalu dan skuad bawah 19 tahun (B-19) muncul naib juara AFF B-18, baru-baru ini.

“KAFA selaku ahli gabungan FAM menyeru seluruh penyokong dan peminat memberikan kepercayaan, sokongan, ruang serta peluang kepada kepimpinan baru FAM untuk melaksanakan agenda mereka bagi mengembalikan kegemilangan sukan nombor satu negara ini.

“Usaha yang bersungguh-sungguh sedang dilaksanakan FAM di bawah teraju Tunku Ibrahim terbukti berada di landasan tepat apabila beberapa kejayaan sudah dikecapi dalam tempoh singkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas perkembangan sama, Bibi Ramjani berkeyakinan kepimpinan Tunku Ismail mampu menjadikan Malaysia sebagai kuasa bola sepak di rantau ini dan Asia.

Justeru, beliau menegaskan betapa penting semua pihak menyokong usaha agar badan induk itu dapat melaksanakan setiap perancangan yang dirangka.

“Apa yang penting, kita perlu terus berikan sokongan kepada usaha-usaha yang dilakukan dengan berterusan dan sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:01 PM