Durakovic (tiga kiri) percaya pemainnya dapat rebut tempat ke final Piala Malaysia. -Foto fail
Mohamad Zulfaizan Mansor


STATUS pasukan bukan pilihan atau ‘underdog’ tidak dianggap sebagai penghalang buat Perak untuk melakar kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT), pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.

Sambil mengakui JDT memiliki banyak kelebihan, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic bagaimanapun enggan menidakkan kemampuan pemainnya untuk merebut tiket ke final daripada JDT.

Malah, berdasarkan semangat tinggi pemain dan persiapan rapi pasukan, Durakovic percaya skuad The Bos Gaurus mampu memberi saingan sengit terhadap pasukan bimbingan Ulisses Morais itu.

“Bukan tugas mudah untuk kami apabila berdepan pasukan kuat seperti JDT, apatah lagi beraksi di tempat lawan. Apa yang saya harapkan ketika ini adalah persembahan terbaik semua pemain.

“Kami datang ke Larkin dengan harapan yang cukup besar untuk layak ke final, dan saya jangka kita akan menyaksikan satu perlawanan yang sengit dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Setakat ini, Durakovic sudah membuktikan kemampuannya apabila membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia dua tahun lalu, biarpun skuad The Red Giants ketika itu kurang menyerlah dalam saingan Liga Super.

Sentuhan ajaib daripada pengendali berusia 52 tahun itu sekali lagi diharapkan dapat memacu skuad The Bos Gaurus untuk melepasi halangan terbesar apabila berdepan JDT, yang dianggap pasukan terbaik Liga Malaysia ketika ini.

Sementara itu, pengurus pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar menuntut semua pemain supaya tidak terlalu memikirkan mengenai status pasukan pilihan milik JDT.

“Semua pemain perlu berfikiran positif untuk memenangi perlawanan ini. Ia adalah bola sepak dan apa saja boleh berlaku.

“Perlawanan ini adalah ujian terbesar dan ia peluang untuk semua pemain menunjukkan kemampuan sebenar. Malah, saya percaya mereka semua sudah bersedia untuk mencipta sesuatu di Larkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 7:22 PM