Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani IIias Khan ketika perjumpaan dengan pemain Kelantan. - Foto Fail
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KERAJAAN negeri Kelantan akan terus membantu dan memberi kerjasama kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, antara bantuan yang akan diberi, termasuk mengurangkan bayaran levi daripada 17 kepada 10 peratus.

Katanya, ia mungkin dikurangkan lagi pada masa depan demi membantu KAFA dan pasukan The Red Warriors.

"Masalah kewangan menjadi punca utama kerana kos pengurusan pasukan yang sangat tinggi.

"Kita akan bincangkan dengan lebih lanjut untuk memastikan bola sepak Kelantan lebih berdaya saing," katanya selepas pertemuan KAFA dengan kerajaan negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Beliau berkata, hasil perbincangan kerajaan negeri dengan KAFA, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada pengurusan baru persatuan berkenaan.

"Sebagai sokongan, kita hanya benarkan Stadium Sultan Muhammad IV digunakan pasukan bola sepak," katanya.

Sementara itu, Bibi Ramjani berkata, pertemuan itu membincangkan aspek kemudahan diperlukan pasukan.

"Kerajaan negeri memberi petanda positif dalam beberapa perkara selepas diusulkan kita.

"KAFA dan kerajaan negeri mengaktifkan semula jawatankuasa bersama bagi meningkatkan prestasi dan mengembalikan nama pasukan di puncak bola sepak negara ini. Kita bersetuju dan melantik Datuk Abdul Fattah sebagai pengerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 7:01 PM