RONALDO (kanan) berpeluang menyamai rekod Messi yang menang lima gelaran. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Prestasi cemerlang Cristiano Ronaldo bersama Real Madrid meletakkannya selaku pilihan utama memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA 2017 di London awal pagi nanti (waktu Malaysia).

Bintang Portugal itu memenangi anugerah berkenaan tahun lalu dan memacu Real menjulang gelaran La Liga, menjaringkan 12 gol ketika kelab gergasi Sepanyol itu menjuarai Liga Juara-Juara ke-12 mereka dan kali ketiga dalam empat musim, musim lalu.

Penyerang itu disenarai pendek bersama musuh tradisinya Lionel Messi dan bekas pemain Barcelona, Neymar yang kini beraksi dengan kelab gergasi Perancis Paris Saint-Germain.

“Ronaldo mendahului pesaingnya yang lain,” kata ikon Roma, Francesco Totti dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjelang majlis gilang gemilang itu di London Palladium.

“Dia mengharungi musim yang menakjubkan dan juga menyempurnakan segala sasaran yang diletakkan kepadanya dengan pasukan yang sangat berprestij.”

Seandainya menang, Ronaldo berada di landasan tepat untuk menyamai rekod Messi yang menang lima gelaran Ballons d’Or apabila majalah Bola Sepak Perancis itu mengumumkan pemenangnya dalam majlis yang berlangsung awal tahun depan.

Ronaldo, 32, dinobat pemenang sulung Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA tahun lalu selepas penggabungan enam tahun anugerah berkenaan dengan Ballon d’Or berakhir.

Kali terakhir penyerang prolifik yang membantu Portugal menjuarai Euro 2016 itu memenangi anugerah yang pemain terbaik sebelum penggabungan dengan Ballon d’Or ialah pada tahun 2008.

Messi, 30, menjaringkan 54 gol musim lalu ketika Barcelona menjuarai Piala Raja Sepanyol.

Bintang Argentina itu mengharungi permulaan cemerlang di awal kempen ketika ini dengan menyumbat 15 gol buat Barca dan menghadiahkan negaranya tempat ke Piala Dunia tahun depan menerusi magisnya ketika bertemu Ecuador.

“Kita semua tahu siapa pemain terbaik di dunia,” kata jurulatih Barcelona Ernesto Valverde. “Kebenarannya adalah, siapa yang menjulang trofi tidak begitu membimbangkan saya.”

Bintang Brazil Neymar, 25, menjuarai Piala Raja Sepanyol dengan Barcelona tahun lalu sebelum menyertai PSG dengan rekod perpindahan dunia 222 juta euro (RM 1.16 bilion).

Undian bagi anugerah berkenaan dilakukan oleh kapten-kapten pasukan kebangsaan, jurulatih pasukan kebangsaan, media dan peminat dengan undian ditutup bulan lalu.

Selain Ronaldo, jurulatih Real Zinedine Zidane juga dijangka akan menjulang anugerah Jurulatih Terbaik FIFA dengan pencabarnya adalah pengendali Chelsea, Antonio Conte dan bos Juventus, Massimiliano Allegri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 11:29 AM