KETIADAAN Zahasmi (tengah) tidak jejaskan persiapan skuad TRW. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


PERSIAPAN skuad The Red Warriors (TRW) yang akan berdepan Melaka United, Sabtu ini tidak terjejas meskipun ketiadaan ketua jurulatih Zahasmi Ismail yang direhatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, TRW yang kini dikendalikan penolong jurulatih Santhit Bensoh dilihat tidak mengalami tekanan bagi menghadapi baki perlawanan Liga Super itu yang juga menjadi penentuan nasib skuad itu musim depan.

Menurutnya, persediaan pasukan turut dilakukan dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan yang akan menguji kemampuan sebenar jurulatih dari Thailand itu.

“Isu Zahasmi direhatkan bukan satu perkara besar kerana pasukan ini kini diambil alih oleh penolongnya, Santhit... beliau juga tidak asing lagi dengan pemain Kelantan dan sudah pasti mengetahui selok belok pasukan.

“Selain itu, TRW juga sudah menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dan malam ini pasukan menerima kunjungan Terengganu sekali gus menguji kemampuan Santhit,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan lebih 30 pengamal media di Kota Bharu, hari ini.

Bibi Ramjani menegaskan isu merehatkan Zahasmi dilakukan secara perbincangan bersama Exco dan bukan keputusan peribadinya.

“Isu sebenarnya Zahasmi meminta untuk bercuti sementara seterusnya KAFA melakukan perbincangan bersama barisan Exco mengenai hal itu dan mempertimbangkan kehendaknya.

“Bagaimanapun, Zahasmi masih mempunyai baki kontrak hingga bulan depan dan keputusan lanjut sama ada meneruskan kontrak itu belum lagi dimuktamadkan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pendaftaran lesen dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Bibi Ramjani berkata, segala dokumen yang diperlukan FAM sudah dihantar kepada Lembaga Rayuan Perlesenan FAM dan pihaknya kini hanya menunggu keputusan yang diumumkan pada 30 Oktober ini.

“KAFA sudah memenuhi semua syarat yang dimahukan FAM... kini hanya menunggu keputusan yang akan diumumkan mereka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 3:32 PM